Saya percaya kerajaan semasa akan cuba memaparkan semangat Malaysia baharu dalam perayaan Hari Kebangsaan 2018 yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong di ibu kota pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

Saya percaya sambutan kali ini akan menekankan kepentingan golongan muda sebagai pendukung aspirasi kerajaan yang diterajui oleh orang politik lama.

Saya juga percaya penganjur akan meniupkan semangat baharu dalam sambutan yang akan diadakan di seluruh negara, bersesuaian dengan semangat ‘baharu’ yang mahu dirayakan dan percaya warga muda akan menjadi teras sambutan.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku, saya benar-benar ingin melihat semangat ini ditanam dalam sanubari anak-anak muda Malaysia tanpa mengira bangsa di seluruh negara dari Perlis sehingga ke Sabah.

Malah daripada apa yang saya baca, lagu sambutan perayaan Hari Kebangsaan kali ini juga berirama Hip Hop dan Pop bertajuk Kita Punya Malaysia yang dinyanyikan oleh kumpulan Bunkface, berbanding irama yang kita biasa dengar pada tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai warga yang mewakili rakyat dua zaman, saya menyimpan hasrat untuk benar-benar melihat anak muda menonjolkan diri masing-masing pada sambutan Hari Kebangsaan yang akan dirayakan akhir bulan ini.

Bagaimana? Dengan memperlihatkan semangat merayakan hari kemerdekaan ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk platform media sosial.

Mungkin dalam bulan ini sehingga 16 September, mereka yang gemar memuat naik gambar dalam Facebook atau Instagram memaparkan foto bersama bendera Malaysia dengan kaedah yang paling kreatif kerana ini juga satu bentuk sumbangan.

Ini sebenarnya adalah satu cabaran yang saya mahu anak-anak muda sahut sebagai sumbangan mereka membina negara Malaysia tercinta dengan mengenepikan fahaman politik.

Generasi dua zaman seperti saya mahu memastikan perpaduan ini disemai mulai sekarang untuk menjamin Malaysia mantap di masa depan dan ia bukan sekadar kata-kata retorik pemimpin politik.

PEWARIS DUA ZAMAN

Kajang, Selangor