MERUJUK ruangan FORUM Utusan Malaysia bertarikh 5 April 2016 yang mahu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang dinaik taraf. Pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengucapkan terima kasih atas maklum balas yang telah dikemukakan itu.

Pihak kami sentiasa mengadakan kajian keperluan pengguna lebuh raya dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha syarikat ini untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik pada setiap masa.

PLUS telah membelanjakan kira-kira RM250 juta dari 2005 hingga 2015 untuk menaik taraf kawasan R&R dan hentian sebelah di rangkaian lebuh rayanya bagi membolehkan orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa.

Untuk makluman, R&R Rawang (arah utara) adalah salah satu daripada lokasi yang akan dinaik taraf pada tahun ini.

Projek ini masih lagi dalam fasa menunggu kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kerja menaik taraf R&R tersebut dijangka dapat dimulakan pada pertengahan tahun ini dan akan berjalan selama lebih kurang 11 bulan.

Mengikut perancangan, kerja-kerja menaik taraf di R&R tersebut akan melibatkan bangunan tandas awam dan surau baharu, meningkatkan kemudahan gerai dan medan selera, ruang meletak kenderaan dan lain-lain lagi.

Sementara itu, berhubung keadaan kemudahan tandas awam di Hentian Sebelah Rawang (arah selatan) yang rosak, PLUS telahpun membuat kerja-kerja pembaikan di situ.

Pihak kami akan membuat pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik.

PLUS akan sentiasa melakukan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan pelanggan lebuh raya kami berjalan lancar dan selesa pada setiap masa.

MOHD. NIZAM ISMAIL

Ketua Komunikasi Korporat PLUS