Hubungan erat antara jiran dapat melahirkan ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Seperti yang diketahui umum, jiran didefinisikan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita.

Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini lahir daripada kesedaran dan inisiatif kita untuk mewujudkannya.

Ia perlu diterapkan dalam diri dan masyarakat. Islam telah menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dalam kalangan masyarakat sekeliling. Dalam konteks kejiranan, umat islam perlu sentiasa menghormati dan menjaga keselamatan diri dan harta benda bersama kejiranan.

Dengan adanya semangat kejiranan ini, sesuatu masalah dapat diatasi dengan segera. Sebagai contoh, gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, balai raya, membuat jambatan dan sebagainya dapat dilakukan bersama. Secara tidak langsung ini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk kawasan perumahan.

Antara cara memupuk semangat kejiranan adalah dengan saling kunjung-mengunjungi sesama jiran. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa musim perayaan, kenduri dan lain-lain lagi. Sikap keprihatinan juga penting dalam melahirkan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang sesama jiran.

Memang tidak dapat dinafikan lagi, pelaksanaan Rukun Tetangga juga dapat melahirkan individu yang bertanggungjawab seterusnya mampu membentuk masyarakat yang berjiwa murni.

SITI RAIHANA MAZLAN

Nilai