BARU-BARU ini tular seketika di laman sosial perihal seorang insan prihatin menegur pemandu yang membuang botol keluar daripada kenderaan.

Insan berkenaan telah mengutip semula botol yang dibuang sebelum mengetuk pintu kereta dan memulangkan semula botol ber­kenaan kepada pemandu tersebut.

Sememangnya tindakan insan tersebut sangat berani dan wajar dipuji. Botol tersebut yang dibuang di tengah jalan raya bukan sahaja akan mencemarkan alam sekitar malah boleh membahayakan pengguna jalan raya lain terutamanya penunggang motosikal.

Hal ini membuatkan kita tertanya-tanya di manakah silapnya sehingga kita melahirkan individu bersikap mementingkan diri sehingga sanggup mencampak sampah keluar daripada kenderaan?

Sebenarnya banyak kes pemandu membuang sampah keluar daripada kenderaan tetapi tidak menjadi tular. Walaupun ramai berasa jelik dengan perbuatan itu namun tidak ramai berani menegur secara berdepan. Perlu diakui kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih di tahap rendah.

Untuk makluman, banyak benda yang boleh dikitar semula, antaranya surat khabar, kertas, kotak, tin, besi, plastik, minyak masak terpakai dan bateri selain barangan e-waste seperti pencetak, televisyen, peti sejuk, CPU dan monitor komputer serta ketuhar gelombang mikro.

Kesedaran menjaga alam sekitar perlu disemai bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan mendidik anak-anak kerana mereka adalah generasi yang bakal mewarisi bumi pada masa depan. Langkah permulaan, setiap isi rumah boleh memulakan kempen mengumpul barangan terbuang ke pusat kitar semula.

Amalan kitar semula adalah cara terbaik untuk menjimatkan tenaga dan memelihara alam sekitar. Contohnya, tenaga yang dapat dijimatkan dengan mengitar semula satu botol plastik cukup memberi kuasa kepada mentol 60 watt untuk menyala selama enam jam.

Kajian menunjukkan aluminium mengambil masa 400 tahun untuk terurai secara semula jadi. Dengan mengitar semula satu tin aluminium dapat menjimatkan tenaga untuk menyalakan televisyen selama tiga jam manakala satu botol kaca pula dapat menyalakan mentol 100 watt untuk tempoh masa empat jam. Bayangkan, jika lebih ramai menghidupkan amalan kitar semula maka lebih banyak tenaga dapat dijimatkan.

Di Jerman, 65 peratus bahan buangan dikitar semula pada 2013. Laporan oleh Eurostat menyatakan 152.8 juta daripada 353 juta tan bahan buangan dihasilkan di negara itu telah dikitar semula, 34 juta berjaya ditukar untuk pemulihan tenaga, 11 juta dihantar ke insinerator manakala 63.8 juta telah dihantar ke tempat pembuangan sampah.

Selain itu, harga barangan kitar semula juga dibeli pada harga tinggi serta inisiatif seperti sistem deposit botol menjadikan kadar kitar semula adalah tinggi di Jerman.

Sememangnya amalan kitar semula adalah pendekatan untuk mengurangkan kuantiti sisa pepejal yang dilupuskan. Namun, kadar kitar semula di Malaysia masih di tahap rendah. Hanya 15 peratus rakyat Malaysia mengamalkan kitar semula walaupun pelbagai inisiatif telah diambil pihak berwajib untuk menggalakkan kesedaran alam sekitar, antaranya pengasingan sisa pepejal mulai 1 September 2015 dan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

Mungkin dengan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan mata pelajaran alam sekitar mulai 2019 dapat meningkatkan kesedaran itu dalam kalangan generasi muda.

Esok (Sabtu) adalah Hari Alam Sekitar Negara dan tahun ini adalah tahun kedua penganjurannya semenjak penjenamaannya semula pada 2016. Sebelum ini, Hari Alam Sekitar lebih dikenali sebagai Minggu Alam Sekitar Malaysia.

Dengan tema Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama, program ini diharapkan dapat menanamkan sikap tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. Amatlah diharapkan supaya kesedaran ini tidak hanya muncul pada ketika program sambutan sahaja sebaliknya berkekalan sampai bila-bila.

NORLIZAWATY BAHARIN

Universiti Kebangsaan Malaysia