Berikutan tragedi itu, projek pembinaan di kawasan berbukit perlu dihentikan sehingga pemeriksaan keselamatan dan alam sekitar yang teliti dijalankan bagi memastikan semua langkah pengawasan diambil bagi mengelak kes sama berulang.

Kejadian di Bukit Kukus menjadi satu lagi tanda amaran bahawa penduduk di sekitar kawasan di mana pembangunan bukit sedang dijalankan berada dalam bahaya.

Lebih mengejutkan, pembinaan lebuh raya berkembar di Bukit Kukus itu adalah projek Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Ini membuktikan kerajaan negeri tidak dapat menjamin keselamatan projeknya sendiri.

Kerajaan negeri dan MBPP tidak seharusnya mengatakan itu adalah takdir Tuhan berikutan hujan lebat. Padahal kita sedia maklum jika cerun dibiarkan terdedah tanpa sebarang perlindungan atau langkah-langkah untuk menstabilkan tanah tidak diambil, ia cenderung menjadi gelongsoran tanah.

Kerajaan negeri dan MBPP perlu mengakui kesilapan dan bertanggungjawab kerana tidak melakukan pengawasan yang teliti dan kurangnya langkah-langkah penguatkuasaan hingga membawa kepada tragedi ini, iaitu melibatkan projek kerajaan sendiri.

Tambahan pula, MBPP mempunyai unit geoteknikal dengan pakar-pakar yang sepatutnya menyemak semua projek cerun bukit dan memastikannya mematuhi Garis Panduan Pembangunan Lereng Bukit Pulau Pinang 2012.

Garis panduan tersebut menghendaki pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas oleh pihak berkuasa berkenaan, termasuk MBPP untuk semua projek yang ada kaitan dengan kawasan bukit.

Sehubungan itu, CAP menggesa agar langkah-langkah berikut diambil oleh kerajaan Pulau Pinang dan MBPP iaitu pertama, pembaikan segera perlu dibuat di Bukit Kukus untuk mencegah kejadian tanah runtuh berulang.

Kedua, berikutan kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa negeri dan MBPP, sudah tiba masanya kerajaan Pulau Pinang menghentikan kelulusan pembangunan di kawasan berbukit termasuk projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Ketiga, bantuan perlu didapatkan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain untuk memeriksa, memantau dan menguatkuasakan peraturan sedia ada bagi mencegah kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang.

Keempat, kerajaan negeri perlu memperuntukkan dana bagi membetulkan semua corak pembangunan yang tidak sempurna di kawasan berbukit yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu. Bukit Bendera sahaja mempunyai kira-kira 200 kes tanah runtuh, di mana masih banyak yang belum diperbaiki.

Kelima, kerajaan negeri dan MBPP perlu bertanggungjawab terhadap tragedi di Bukit Kukus dan memastikan pegawai kanan dikenakan tindakan.

Keenam, PTMP tidak seharusnya diteruskan memandangkan pembangunan berlebihan yang akan dibuat dan kurangnya kapasiti pihak berkuasa untuk mengawas dan memantau pelaksanaannya.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP