KEMUDAHAN di Air Terjun Lubuk Kain, Terengganu agak daif dan memerlukan penambahbaikkan. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Mengikut maklumat pengusaha gerai makan dan kemudahan rekreasi di situ, kelaziman pengunjung lebih tertumpu pada hari cuti umum dan hujung minggu. Walaupun pengunjung agak berkurangan pada hari bekerja, namun gerai makanan di kawasan rekreasi itu dibuka tujuh hari seminggu.

Sebahagian pengunjung tidak mempunyai kesedaran sivik apabila sampah-sarap dibuang merata tempat termasuk ke dalam sungai. Ini sekali gus mencemar pemandangan dan kebersihan kawasan berkenaan. Adalah dicadangkan supaya lebih banyak tong sampah disediakan.

Ketiadaan sistem tangki air juga menyukarkan pengusaha gerai dan pengunjung. Bekalan elektrik juga merupakan masalah utama dalam urusan perniagaan seharian mereka.

Adalah dicadangkan pihak kerajaan negeri seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan semula gerai-gerai di situ secara lebih tersusun dan sistematik. Dengan cara ini kebersihan gerai dan persekitaran akan lebih terjamin.

Jika terdapat kemudahan gerai terbuka bersaiz kecil, penduduk tempatan tentunya mempunyai ruang untuk memasarkan hasil pertanian mereka seperti buah-buahan bermusim kepada pengunjung yang datang berekreasi. Secara tidak langsung ia dapat menjana pendapatan penduduk setempat.

Surau dan tandas yang disediakan agak memberi keselesaan kepada pengunjung. Tinggal lagi perkara yang perlu dititikberatkan ialah penyelenggaraan rutin bagi menjamin kemudahan yang disediakan. Walau bagaimanapun bilik persalinan masih belum lengkap memandangkan yang sedia ada hanyalah merupakan bilik ringkas berdindingkan kanvas plastik yang didirikan oleh pengusaha gerai.

Kawasan letak kenderaan yang luas di Lubuk Kain memberi keselesaan kepada pengunjung. Namun keadaan ini akan lebih baik lagi jika terdapat lot-lot parkir disediakan secara teratur untuk mengelakkan kenderaan diletakkan sesuka hati.

Jika kemudahan di kawasan peranginan itu distrukturkan dengan lebih baik, ia berpotensi untuk menjadi salah satu destinasi tarikan utama pelancong di negeri ini pada masa akan datang.

OTHMAN OMAR

Dungun, Terengganu