Kepulangan Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim iaitu anak kepada mufti Pulau Pinang, Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor untuk berkhidmat kepada negara diiringi dengan kutukan khususnya pembaca portal berita, Malaysiakini.

Walaupun mengetuai satu unit penyelidik satelit di NASA, kelayakan Wan Wardatul Amani ‘dicabar’ semata-mata kerana bangsa dan agamanya hingga ada yang berani menggelarnya ‘saintis kampung’.

Tidak kurang juga yang cuba mengaitkan kejayaannya dengan ‘diskriminasi’ hak istimewa Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Ironinya, saya yakin golongan yang cuba merendah-rendahkan kejayaan anak Melayu ini tidak fasih bahasa kebangsaan malah tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menyebabkan mereka tidak layak masuk ke universiti awam tempatan.

Ada juga yang memuji kejayaan saintis muda ini tetapi menasihatkannya tinggal di NASA dan abaikan Malaysia yang sudah ‘nazak’ dan hampir bankrap.

Memang golongan ini tidak menggambarkan pemikiran majoriti rakyat Malaysia tetapi jelas sekali mereka mahu menerap kebencian terhadap apa sahaja berkait rapat dengan Melayu dan Islam.

Portal ‘bebas’ seperti Malaysiakini pula dengan mudah ‘cuci tangan’ selepas menyediakan dan tidak menapis platform untuk komen-komen rasis tanpa memerlukan individu tersebut mendedahkan identiti sendiri.

Golongan ini sebenarnya mengamalkan fahaman politik melampau dengan mempromosikan kebencian terhadap pemimpin Melayu tetapi pada masa sama telah melangkaui batas sehinggakan mendorong kemarahan kepada keseluruhan bangsa Melayu dan agama Islam.

Bagi saya, semua rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan setiap anak Malaysia di dalam dan luar negara tidak kira bangsa atau agama mereka.

Bezakan antara pegangan politik dengan jati diri anak Malaysia.

Jika benci kepada rakyat mahupun negara sendiri, lebih baik cari negara lain yang lebih sesuai dengan selera anda.

Sekurang-kurangnya jadilah ‘anak jantan’ dan gunakan nama sebenar untuk menulis komen-komen ‘pedas dan panas’ itu.

SILA MENINGGAL

Gombak, Selangor