PSM telah menetapkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ini diadakan pada Ahad 24 Jun 2018 di Hotel Summit Kuala Lumpur. Mesyuarat pada kali ini pastinya hangat kerana jawatan-jawatan tertinggi dalam PSM akan dipertandingkan termasuklah jawatan Presiden.

Walaupun pada awalnya ada ura-ura Ahmad akan menyerahkan jawatan Presiden PSM kepada orang lain tetapi saya maklum benar itu adalah wayang gambar yang dipertontonkan setiap kali tirai Mesyuarat Agung PSM akan disingkap.

Tanggal 8 Jun 2018 semua pencalonan ditutup, akhirnya wayang gambar ini pun berakhir dengan pengesahan Ahmad akan mempertahankan jawatan Presiden PSM. Tidak cukup dengan itu, skrip wayang gambar ini dimeriahkan lagi dengan sedikit unsur jenaka apabila Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz turut bertanding merebut jawatan Presiden.

Saya tidak mahu mengulas panjang lebar apakah rasionalnya Akramuddin turut bertanding jawatan Presiden sedangkan pada masa sama beliau turut mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PSM.

Memadailah dengan saya menjangkakan apabila sampai masa dan ketikanya nanti, Akramuddin akan menarik diri dari perebutan jawatan Presiden PSM. Jika benar berlaku, memang tidak sangka dalam keadaan Malaysia semakin hampir menggapai status negara maju masih ada lagi pemimpin yang mengamalkan politik murahan sebegini demi kelangsungan jawatan Presiden.

Saya yakin dan percaya bahawa Ahmad amat mencintai sukan sepak takraw. Saya juga yakin bahawa beliau pastinya antara insan yang begitu teruja untuk melihat sukan sepak takraw kembali digeruni oleh pihak lawan.

Namun, beliau perlu sedar dan menerima hakikat bahawa rasa cinta terhadap sepak takraw masih belum mampu untuk menjelmakan sebarang kejayaan gemilang yang benar-benar boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Malah akhir-akhir ini para pencinta sukan sepak takraw terus disajikan dengan kejayaan palsu seperti pingat emas yang tiada kualiti, isu ketelusan dalam pemilihan pemain, penampilan barisan jurulatih yang boleh dipertikai dan pembangunan program akar umbi yang seolah-olah ‘hidup segan mati tak mahu’.

Malah apa yang paling memalukan ialah sukan sepak takraw kini bukan lagi berada di dalam kategori sukan teras dan hampir-hampir tidak dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak nanti.

Siapakah yang harus bertanggungjawab? Pengurus pasukan? Jurulatih? Pemain? Pada kaca mata saya, sudah tentulah Presiden PSM selaku orang nombor satu dalam persatuan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas deretan episod hitam yang telah pun terpahat dalam sejarah sukan sepak takraw.

Di luar dunia sepak takraw, Ahmad cukup terkenal dengan pelbagai isu politik. Mana mungkin saya lupa mengenai ucapan kontroversi ‘kaum Cina adalah pendatang’ yang telah terpacul dari mulut beliau sekitar Ogos 2008.

Impaknya, keahlian UMNO beliau telah digantung selama tiga tahun dan pada masa sama hubungan UMNO dengan MCA dan Gerakan agak terjejas pada ketika itu.

Di samping itu, beberapa isu dalaman UMNO Bahagian Bukit Bendera juga tidak kurang panasnya. Dipendekkan cerita, nama ‘Tok Mat’ di Pulau Mutiara cukup gah dan tidak keterlaluan kalau ada segelintir rakyat di Pulau Pinang yang menganggap beliau sebagai hero Melayu yang tulen.

Saya tidak menyanggah langsung reputasi hebat beliau di Pulau Pinang tetapi setelah hari bertukar hari, minggu bertukar minggu, bulan bertukar bulan, malah kini kita sudah pun melangkaui pertengahan tahun 2018, secebis rasa hormat saya yang ada terhadap beliau sebelum ini kian terhakis sedikit demi sedikit.

Bayangkan, Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah meletakkan jawatan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada memegang sebarang jawatan tertinggi dalam UMNO tetapi Ahmad masih mendabik dada untuk terus mempertahankan kerusi empuk Presiden PSM.

Selepas 16 tahun selaku nakhoda PSM yang gagal memartabatkan sukan sepak takraw tetapi tidak terbit walau sebesar zarah sekalipun rasa bersalah dan keinginan untuk bertanggungjawab atas kemerosotan teruk sukan warisan tanah air ini.

Justeru mengikut sudut pandang saya, transformasi kepemimpinan PSM wajib dilakukan sekarang tanpa dilengahkan walau sesaat. Sekiranya Ahmad masih terus berkeras untuk mempertahankan jawatan Presiden PSM, detik hati saya ini kuat mengatakan yang jangka hayat sukan sepak takraw sudah semakin hampir ke penghujungnya.

Memang banyak yang ingin saya kupas tetapi buat masa ini saya merasakan cukup sekadar ini sahaja. Sesungguhnya besar harapan saya agar Ahmad melupakan hasrat untuk mempertahankan jawatan Presiden PSM.

BOB DANISH

Bandar Baru Bangi, Selangor