Malangnya, janji itu tinggal janji selepas kuasa dimenangi. Tidak banyak perkara ketara yang terlaksana oleh kerajaan baharu. PH belum membuktikan kepada rakyat bahawa mereka lebih hebat atau amat lain daripada BN.

DAP pernah ditanya masyarakat Cina, bertukar adakah semestinya lebih baik? DAP telah membuat pelbagai janji merangkumi pendidikan, ekonomi, perkhidmatan awam dan perundangan. Mereka amat yakin di bawah permuafakatan politik PH yang baharu, akan berjaya membawa reformasi luar biasa untuk rakyat dan negara.

Dukacitanya, selepas 10 bulan memerintah, rakyat pula diminta agar memberi masa lebih panjang untuk PH melaksanakan pembaharuan kerana ada faktor-faktor dalaman dan luaran yang perlu diatasi.

Di samping itu, pemimpin tertinggi DAP lantang memujuk masyarakat minoriti agar bersama-sama mengamalkan satu wawasan dan perspektif politik bersifat gambar besar (big picture). DAP kononnya sedang bertungkus-lumus mencari satu strategi perjuangan yang lebih holistik dan bermatlamat jangka panjang demi masa depan negara. Rakyat diminta terus bersabar dan jangan terlalu berkecil hati sekiranya ada sesetengah sasaran jangka pendek tidak sempat direalisasikan. Adakah itu semuanya merupakan kata-kata manis DAP untuk mengalih perhatian pengundi ke atas kegagalan mereka menunaikan segala janji?

DAP berjaya menawan hati pengundi selepas meyakinkan masyarakat bahawa gagasan mereka adalah lebih baik, lebih cekap dan lebih ikhlas berbanding kerajaan terdahulu. Walau bagaimanapun, kebelakangan ini masyarakat Cina menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap pencapaian yang ditunjukkan DAP. DAP digesa bekerja keras. Kalau gagal membuat kerja dengan baik, mereka mungkin akan ditolak.

DAP sedang disaksikan, mereka agak kehilangan akal dalam usaha mengimbangi dominasi parti sekutu. DAP juga didapati agak mentah dalam menangani urusan pemerintahan dan tidak begitu matang pemikiran serta kurang memahami tatasusila kerja dalam sektor perkhidmatan awam.

Iktibar yang dilalui parti politik di Jepun boleh dijadikan pedoman bagi kerajaan yang mahu kekal memerintah. Pada 2009, parti pembangkang, Parti Demokratik Jepun (DPJ) menumpaskan kerajaan memerintah sebelumnya di bawah satu suara ‘pengalihan kuasa’ yang bertiup kencang. Akan tetapi cuma berkuasa satu penggal, DPJ terus ditolak kerana kelembapan dan gagal dalam mengutarakan satu strategi dan dasar pemerintahan lebih berkesan,

Adakah nasib sama menimpa PH pada PRU-15 sekiranya mereka gagal memerintah dengan berhemah tinggi?

AWANG CAHAYA

Kuala Lumpur