Program yang merupakan inisiatif Pelan Prestasi Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan yang dilancarkan pada 2016 meletakkan tiga kayu ukur yang penting iaitu bagi mendapatkan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Dua daripada tiga kayu ukur ini telah gagal dicapai apabila Malaysia hanya menduduki tangga ke-12 pada Sukan Komenwel 2018 dan tangga ke-14 Sukan Asia 2018. Persoalannya, adakah program yang ada sekarang boleh mencapai satu lagi kayu ukur yang ditetapkan iaitu emas pertama di Olimpik Tokyo 2020, dengan hanya berbaki satu tahun setengah sahaja untuk kita mempersiapkan diri mengharungi kejohanan terbesar dunia tersebut.

Dalam hal ini, sebagai seorang peminat sukan yang hanya melihat sukan dari ‘tepi padang’ dan bukannya seorang atlet yang terlibat dalam program yang ‘gah’ ini, penulis merasakan satu penambahbaikan segera perlu dibuat bagi memastikan program ini mencapai sasarannya yang terakhir. Ini penting bagi memastikan wang pembayar cukai negara tidak di bazirkan begitu sahaja. Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini, setiap sen yang dibelanjakan adalah begitu berharga dan selaku pembayar cukai negara, rakyat marhain seperti penulis berhak mempersoalkan ke mana duit itu dibelanjakan.

Penulis bersetuju dengan pendapat CDM Sukan Asia 2018 yang juga merupakan bekas Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi, yang menyatakan bahawa perubahan perlu dilakukan pada kelemahan-kelemahan yang telah dikesan bagi meningkatkan prestasi program ini.

Prestasi 148 orang atlet dan juga jurulatih yang terlibat dalam program ini juga perlu dinilai semula, agar tiada ‘penumpang dalam sebuah bahtera yang indah’. Selain itu juga, persatuan sukan yang gagal menepati sasaran walaupun banyak bantuan yang telah diberikan oleh pihak MSN, ISN, KBS perlu diberi amaran keras supaya matlamat akhir program ini dapat dicapai dengan jayanya.

Kepada atlet negara, teruslah berjuang bagi mencapai apa yang telah disasarkan, ini bukan sekadar satu tugasan negara, tetapi ia merupakan satu amanah yang perlu diselesaikan. Amanah yang harganya melebihi RM145 juta, untuk sebutir pingat emas Olimpik. Semoga amanah ini dapat diselesaikan dengan jayanya, bukan sekadar satu pelaburan yang sia-sia.

ABDULLAH FIRDAUS ABD. JALIL

CEO Sportflex Media & Event Sdn Bhd