Dikatakan skim itu menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 % terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat berumur 18 hingga 55 tahun.

Ia menawarkan perlindungan kesihatan untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 dan memberi bayaran harian sebagai gantian pendapatan RM50 untuk 14 hari setahun.

Kerajaan perlu memandang serius pandangan pelbagai pihak bahawa skim itu sebenarnya tidak dapat memanfaat golongan B40 serta meringankan beban mereka.

Program ini memberikan RM8,000 sekali sahaja kepada penerima bagi tujuan perubatan, tetapi penyakit tertentu memerlukan banyak kali rawatan, jadi adakah pesakit dibenarkan membuat permohonan baharu?

Jika tidak, pesakit tersebut akan kembali menghadapi kebuntuan dalam membiayai rawatannya dan bantuan yang diterima tidak akan sampai ke mana.

Program mySalam mensyaratkan penerima mestilah berumur antara 18 hingga 55 tahun, bermakna golongan berisiko tinggi berumur melebihi 55 tahun tidak akan mendapat manfaat.

Dengan meningkatnya umur, risiko menghidap penyakit turut tinggi dan premium insurans swasta juga menjadi sangat mahal. Oleh itu, kerajaan patut mempertimbangkan untuk mengubah had umur penerima.

Dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia pada 75 tahun, adakah kerajaan mahu mempertimbangkan untuk mengubah had umur penerima supaya dapat memanfaatkan lebih ramai lagi?

Di samping itu, satu lagi syarat menyatakan hanya mereka yang didiagnosiskan berpenyakit pada atau selepas 1 Januari 2019 layak menjadi penerima, bukankah ini akan mengabaikan ramai pesakit sedia ada?

Selain 36 jenis penyakit yang tersenarai, penyakit mental juga patut dimasukkan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pada tahun lepas bahawa terdapat 29.2 % rakyat Malaysia dibelenggu sakit mental.

Maka kerajaan wajar melakukan perubahan yang perlu untuk menjaga kebajikan para pesakit mental ini.

Saya berharap kerajaan dapat berunding dengan pakar-pakar berkaitan terlebih dahulu, sebelum mempertimbangkan bagaimana mahu memasukkan penyakit mental ke dalam program mySalam ini. Yang penting bukannya melaksanakannya dengan tergopoh-gapah serta mengabaikan pesakit yang memerlukan bantuan.

Saya berpendapat program mySalam secara keseluruhannya adalah tidak praktikal dan tidak mesra rakyat.

Kecuali perubahan dibuat dengan mengambil kira pandangan lebih ramai wakil bidang perubatan, program ini membazir wang pembayar cukai, serta menggadai kebajikan pesakit B40.

Daripada membuang banyak wang untuk melaksanakan mySalam, lebih baik gunakannya untuk menaik taraf perkhidmatan serta peralatan perubatan sedia ada, demi kebajikan rakyat jelata.

DATUK DR. MAH HANG SOON

Timbalan Presiden MCA