KEMENTERIAN Pendidikan ­Malaysia (KPM) ingin merujuk artikel SALLEH SAAD dalam FORUM Utusan Malaysia bertarikh 15 Mac 2016 bertajuk Program matrikulasi perlu diteruskan.

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penambah­baikan secara proaktif bagi memastikan Program Matrikulasi KPM kekal berkualiti, relevan dan berdaya saing kepada semua pihak pemegang taruh.

Antara inisiatif tersebut adalah Task Force Penstrukturan Tempoh Pengajian Tiga Semester Program Matrikulasi KPM yang sedang menjalankan kajian secara intensif berhubung jam pembelajaran pelajar.

Hasil kajian ini akan memberikan justifikasi rasional dan ke arah transformasi Program Matrikulasi KPM termasuk kesesuaian cadangan perubahan dalam konteks struktur tempoh pengajian daripada dua kepada tiga semester dan/atau pelanjutan tempoh pengajian daripada satu tahun kepada satu setengah tahun.

Program Matrikulasi KPM ­bukan sahaja menerapkan ke­fahaman konsep dan nilai ke­negaraan serta kepemimpinan dalam minda dan jati diri pelajar malah turut memastikan amalan nilai tersebut dipraktikkan secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum.

Antaranya adalah melalui sistem pilihan raya yang diadakan secara tahunan bagi pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar sejak awal sesi pengajian lagi. Selain itu, pelbagai aktiviti yang dianjurkan secara kolektif dan kolaboratif dilaksanakan dalam erti kata dan landskap perpaduan yang sebenar.

Ini sekali gus terbukti membantu menyuburkan kematangan dalam kalangan pelajar Program Matrikulasi KPM secara holistik mencakupi bidang akademik dan kemahiran insaniah.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KPM

Putrajaya