Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Potensi besar MeterOn

SAUDARA PENGARANG,

APLIKASI pintar MeterOn ciptaan SPAD.

BARU-BARU ini saya membaca satu artikel dalam Utusan Malaysia menyebut mengenai aplikasi pintar ciptaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dinamakan MeterOn bagi membolehkan orang awam khususnya pengguna pengangkutan awam membuat aduan dengan lebih pantas.

Setelah beberapa minggu mencuba aplikasi tersebut khususnya untuk membuat aduan tentang pemandu teksi yang melanggar undang-undang jalan raya, saya mendapati aplikasi pintar yang dilancarkan pada April 2015 ini mempunyai potensi sangat besar tetapi kurang dipromosikan media.

Bukan sahaja MeterOn mampu meningkatkan disiplin pemandu pengangkutan awam, aplikasi pintar itu boleh dikembangkan lagi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau pemandu kenderaan persendirian.

Bagi mereka yang tidak tahu bagaimana MeterOn berfungsi, aplikasi pintar itu membolehkan orang ramai memeriksa rekod kesalahan dan aduan lampau terhadap pemandu teksi dengan hanya menggunakan nombor pendaftaran kenderaan mereka.

Bukan sahaja penumpang teksi, pengguna jalan raya lain juga boleh membuat aduan jika melihat pemandu teksi tersebut melakukan kesalahan.

Pengadu cuma perlu memberikan maklumat kesalahan seperti masa dan tempat untuk kesalahan memandu secara berbahaya, melanggar lampu merah, tidak menggunakan meter, enggan mengambil penumpang atau lain-lain aduan.

Pusat perkhidmatan SPAD akan menghubungi pengadu dengan segera untuk pengesahan lanjut dan jika cukup bukti, pemandu teksi tersebut akan dikenakan tindakan.

Saya paling teruja bila mendapati semua rekod aduan dan tindakan undang-undang terhadap pemandu tersebut boleh dilihat pengguna dalam MeterOn.

Ini bermakna pengguna akan tahu sama ada aduan mereka diambil tindakan atau ditinggalkan di bawah timbunan fail sementara pemandu tidak boleh menyorokkan kesalahan yang mereka pernah lakukan.

Saya tidak pasti sama ada aplikasi pintar ini boleh digunakan terhadap bas ekspres, bas henti-henti mahupun lori dan kenderaan berat lain tetapi saya harap SPAD akan kembangkan penggunaan MeterOn terhadap kenderaan komersial lain secepat mungkin.

Selain itu, saya harap konsep MeterOn ini digunakan untuk memantau pengguna jalan raya khususnya orang awam dan pemandu kenderaan milik syarikat yang kerap memandu secara berbahaya di jalan dan lebuh raya Malaysia.

Antara masalah utama penguatkuasaan undang-undang jalan raya adalah kurang atau tiada perkongsian data antara agensi khususnya SPAD, JPJ dan polis trafik.

Ini menyebabkan ramai pemandu kenderaan komersial yang mempunyai timbunan saman masih kekal di jalan raya sementara orang awam pula mengabaikan atau mencampak surat saman mereka.

Dengan peningkatan jumlah pemandu yang memasang kamera dashcam dalam kenderaan mereka atau pada topi keledar motosikal, MeterOn mahupun satu aplikasi pintar seumpamanya dapat memudahkan kita membuat aduan dan mengemukakan bukti.

Selama ini orang ramai hanya berkongsi gambar dan video kesalahan jalan raya dalam media sosial disebabkan tiada tempat mengadu ataupun hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa kerana tidak dimaklumkan tentang perkembangan aduan mereka.

Bayangkan jika hanya 10 peratus daripada lebih 20 juta kenderaan memasang dashcam, pihak berkuasa sudah mempunyai lebih dua juta ‘pemantau’ di atas jalan raya yang mampu mengemukakan bukti kukuh pada bila-bila masa.

Pengguna jalan raya kebia­saan­nya tidak kisah mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli dashcam kerana peralatan tersebut kini sudah menjadi antara aksesori keselamatan untuk pemandu dan kenderaan mereka khususnya berkait urusan insurans kemalangan.

Pengguna jalan raya sebenarnya mengharapkan satu saluran yang teratur dan mudah bagi membuat aduan serta mengemukakan bukti tetapi perkara paling penting mereka mahukan maklum balas perkembangan aduan tersebut.

Pihak berkuasa juga perlu merahsiakan identiti pengadu dan membenarkan pihak yang diadu membela diri. Apa pun, pastikan perkembangan aduan dan tindakan perundangan terhadap pesalah boleh dilihat pengadu bagi menjaga ketelusan dan mengelak persepsi ‘pilih kasih’.

Aplikasi pintar sebegini akan ‘memaksa’ pemandu di negara ini menjaga disiplin ketika berada di jalan raya dan mengelak daripada melanggar undang-undang, bukan sahaja bagi mengelak dikenakan saman tetapi tidak mahu berasa malu berdepan keluarga, rakan karib dan rakan sekerja.

RIDER KENTAL

Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain