Kes pertama, kegagalan anak menerima sijil matrikulasi dan transkrip asal peperiksaan 2016/2017 telah membawa kepada pembongkaran beratus-ratus dokumen sama tidak dihantar kepada penerima, sebaliknya dihantar ke sebuah kolej di Banting dengan status return oleh Pos Malaysia sejak Oktober 2017!

Kes kedua melibatkan pengalaman anak yang nyaris terlepas menerima surat tawaran asrama di sebuah sekolah di Gombak bagi sesi persekolahan 2018. Sedangkan surat-surat tawaran telah diposkan oleh pejabat asrama sekitar awal Disember lepas.

Dua kejadian itu menunjukkan Pos Malaysia gagal melaksanakan amanah diberi sekalipun melibatkan surat-surat penting yang tertera Urusan Seri Paduka Baginda.

Pos Malaysia juga dilihat telah mengambil jalan mudah dengan mengembalikan surat-surat yang tidak diserahkan ke alamat para penerima. Difahamkan tindakan itu dilakukan kerana Pos Malaysia kekurangan kakitangan.

Disebabkan sikap tidak amanah itu telah menjejaskan nama Kementerian Pendidikan, justeru permohonan maaf harus dilakukan kepada pihak berkenaan, selain Pos Malaysia wajib melakukan transformasi perkhidmatan pada kadar segera.

Sementara itu, bagi mengelak masalah sama berulang, pihak kementerian disaran menyerahkan terus sijil-sijil matrikulasi kepada pihak kolej terbabit bagi urusan penyerahan kepada pelajar bagi sesi akan datang.

Untuk penyelesaian jangka pendek, saya mencadangkan agar pihak kolej menghubungi semua bekas pelajar (sesi 2016/2017) untuk mengambil sendiri sijil matrikulasi dan transkrip peperiksaan mereka, atau diposkan secara Pos Laju (jika perlu).

MOHD. RASHID TARIHEP

Taman Samudra, Batu Caves