Walaupun langkah itu kelihatan bermanfaat demi kepentingan mahasiswa, kerajaan harus memastikan tindakan berkenaan tidak disalahgunakan oleh parti pemerintah mahupun pembangkang untuk mempergunakan mahasiswa dalam melebarkan pengaruh politik mereka di universiti.

Pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak harus lagi menjadikan mahasiswa sebagai boneka politik terutama dalam pilihan raya kampus dan mempergunakan pelajar untuk melaksanakan agenda sempit politik kepartian yang tidak mendatangkan manfaat kepada generasi muda.

Walaupun pindaan itu tidak menyeluruh dan mungkin hanya menguntungkan parti politik bagi membuka cawangan mereka di kampus, langkah terbaharu kerajaan haruslah dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa untuk terlibat dalam program perbincangan ilmiah mengenai isu-isu politik semasa di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kerajaan juga harus memastikan janji untuk memansuhkan AUKU dalam tempoh lima tahun sebagaimana yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan tidak dimungkiri.

MUHAMAD NUR IMAN ABDUL KHUDUS
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)