Asas penubuhan parti-parti politik yang pelbagai ini telah mewujudkan perpecahan khususnya di kalangan orang-orang Melayu dan bumiputera. Walaupun bumiputera mewakili 69.1 peratus penduduk negara ini tapi sukar sehingga ke hari ini bagi kaum bumiputera memegang tampuk Parlimen secara total akibat daripada kewujudan pelbagai parti politik Melayu atau Islam.

Kepelbagaian asas penubuhan parti politik ini akhirnya memberi banyak pilihan kepada rakyat dan ada kalanya ‘memeningkan’ rakyat untuk memilih antara asas bangsa atau agama khususnya dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Oleh kerana kaum bumiputera tidak dapat memerintah secara sendirian, walaupun menjadi kaum majoriti, maka telah sekian lama negara kita diperintah oleh kerajaan yang terdiri daripada pemimpin pelbagai bangsa.

Untuk membentuk kerajaan yang terdiri dari pelbagai bangsa ini, bermacam-macam strategi untuk menang pilihan raya diatur oleh pemimpin segala parti politik.

Demi kepentingan meraih undi seterusnya memberi kuasa sebagai pemerintah, dapat kita perhatikan trend di mana pemimpin-pemimpin suka berjanji kepada penyokong khususnya bangsa sendiri dengan pelbagai imbuhan menarik.

Kerap juga terjadi insiden putus kawan, rujuk semula kawan yang pernah ‘diludah’ dan dicaci, tikam belakang dan pelbagai lagi demi kepentingan kedudukan politik masing-masing. Bila berjanji selalu ambil ringan untuk menunaikannya, kenyataan pula selalu berubah-ubah dan tak konsisten. Kerap buat ‘u turn’ atau pusing ‘round about’ dan pilih simpang keluar yang jauh dari kenyataan asal. Ada kalanya nampak macam amat tidak bermoral amalan politik di Malaysia. Jauh sekali kalau nak dikaitkan dengan etika yang baik.

Kalaulah amalan berdolak-dalik yang diamalkan khususnya dalam kalangan ahli politik Melayu atau bumiputera di negara ini berterusan demi menjaga kedudukan dan kuasa, dikhuatiri satu hari nanti bangsa kita sendiri yang akan rugi.

Bukalah mata seluas-luasnya dan perhatikan bangsa lain yang sentiasa konsisten memperjuangkan hak mereka tak kira parti mana pun yang menjadi parti komponen mewakili bangsa mereka dalam kerajaan. Tidak pernah lari hala tuju perjuangan kepentingan kaum mereka.

Sebagai seorang bumiputera, saya amatlah berharap apa pun percaturan pemimpin-pemimpin Melayu atau bumiputera yang ada dalam kerajaan hari ini, janganlah leka dan asyik menjaga kedudukan sendiri sahaja untuk memerintah.

Rasanya, tentu ramai dalam kalangan bumiputera negara ini amat berbangga dan bersyukur sekiranya pemimpin-pemimpin yang diundi dan dipilih sentiasa menjaga kepentingan bangsa sendiri. Jangan sekadar ada jawatan di peringkat Parlimen tetapi kaum sendiri terabai.

Biarlah suasana politik sahaja yang sukar diramalkan asalkan ada kecenderungan pemimpin bumiputera dalam kerajaan yang memerintah sekarang ini untuk membantu kaum sendiri. Itu pun sukar diramal. Cubalah capai suasana ‘menang-menang’ di antara pemimpin yang diundi dan pengundi yang memberi sokongan.

ZULKIFLI ABIDIN