Di sini saya ingin menegur sikap segelintir anggota polis termasuk pegawai. Cuma segelintir kecil ini menjadi ‘kambing hitam’ tetapi sudah cukup untuk merosakkan nama serta imej PDRM.

Kejadian berlaku pada malam 7 September lalu di McDonald’s Desa Pandan, Kuala Lumpur. Ketika itu ramai orang awam sedang berbaris untuk memesan makanan.

Para pelanggan termasuk ibu yang sedang mendukung anak kecil, warga emas dan juga warga asing yang bekerja di kedutaan asing. Desa Pandan sejak dahulu lagi memang ramai dikunjungi rakyat asing yang bertugas di pejabat kedutaan, tambahan pula terdapat Masjid Arab Saudi di hujung Jalan U-Thant.

Apa yang saya kesalkan, tiba-tiba masuk beberapa anggota dan pegawai polis beruniform ke dalam restoran tersebut dan terus memotong barisan pelanggan untuk memesan makanan.

Mereka tidak menghiraukan pelanggan lain. Walaupun sibuk kerana tugas atau ingin cepat. sekurang-kurangnya bagilah tahu atau minta maaf kerana terpaksa memotong barisan.

Lebih menyedihkan saya lihat ada anggota yang terus ambil straw minum dan memasukkan ke dalam minuman pelanggan lain yang sedang menunggu. Saya tabik kepada kakitangan McDonald’s yang terpaksa meminta maaf kepada pelanggan.

Saya perasan anggota dan pegawai polis tadi dalam tugasan mengiring beberapa kenderaan VVIP dipercayai dari pihak istana.

Tindakan dan contoh yang ditunjukkan anggota dan pegawai polis tadi jika diketahui pihak istana berkenaan pasti memalukan.

Saya yakin pihak istana tidak mengetahui malah tidak akan merestui sikap serta tindakan mereka.

Saya harap pengurusan PDRM khususnya Ketua Polis Negara dapat menyiasat dan menegur anggota terbabit.

Saya percaya jika hendak mengetahui siapa anggota atau pegawai yang terlibat bukannya sukar bagi pengurusan PDRM.

Ini kerana setiap pergerakan anggota pada hari tersebut ada dicatat, direkodkan dan dimaklumkan kepada bilik gerakan.

Malah kemungkinan besar restoran berkenana juga mempunyai kemudahan CCTV jika perlukan bukti.

Nanti apabila sudah tahu siapa terlibat maka tegur dan nasihatkan mereka ini agar menjaga imej PDRM dan jangan ulangi perbuatan yang sama. Sebesar mana pun dirasakan kedudukan kita, ada yang lagi besar dan lebih hebat.

 

IBU TUA

Kuala Lumpur