PNM ditubuhkan pada 1972 di bawah Akta Perpustakaan Negara Malaysia 1972 (Akta 80). Selaras dengan objektif penubuhannya, PNM telah memainkan peranan sebagai Pusat Kecemerlangan Malaysiana dengan menyediakan rujukan dan penyelidikan bagi generasi sekarang dan akan datang. Melalui penubuhan pusat ini, pihak kami menyediakan koleksi bahan meliputi pelbagai genre seperti kesusasteraan dan sosial budaya masyarakat Malaysia.

Di bawah Akta 80, PNM dikehendaki menubuhkan pusat kebangsaan bagi manuskrip Melayu untuk perolehan, pendokumentasian dan penggunaan manuskrip-manuskrip Melayu. Penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu itu telah mengukuhkan lagi fungsi PNM sebagai pusat persuratan Melayu di Malaysia.

Bagi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, PNM telah mengumpulkan sejumlah 4,964 naskhah manuskrip Melayu asal mencakupi pelbagai bidang. PNM juga telah memperoleh 1,048 salinan manuskrip Melayu dari luar negara dalam bentuk mikrofilem, salinan faksimili dan digital untuk memperkukuhkan peranannya sebagai hab kecemerlangan penyelidikan warisan dan budaya Melayu.

Dalam usaha memantapkan sistem penyampaian dan penyebaran maklumat ini kepada masyarakat, PNM sedang membangunkan pangkalan data Katalog Induk Manuskrip Melayu yang berfungsi sebagai gerbang tunggal dalam menyatukan semua maklumat berkaitan budaya dan tamadun Melayu yang merangkumi data bibliografik naskhah, teks dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF), intertekstualiti dan pautan kepada kajian atau penyelidikan mengenai bangsa Melayu.

PNM juga mempunyai pangkalan data yang mengumpulkan data mengenai Malaysiana (bahan-bahan yang diterbitkan di dalam dan luar Malaysia).

HASHIMAH MOHD. YUSOFF

Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PNM