Untuk makluman, setiap tahun PLUS melakukan kajian keperluan pengguna lebuh raya, dan ini termasuk menaik taraf kawasan rawat dan rehat (R&R) serta kemudahan lain seperti surau, tandas, medan selera dan sebagainya.

Secara amnya, surau di beberapa R&R utama telah diperbesarkan dan boleh menempatkan kira-kira 60 hingga 100 jemaah lelaki dan 40 hingga 100 jemaah wanita pada satu-satu masa.

Antara surau yang telah dinaik taraf ialah R&R Tapah (arah selatan), Seremban (arah utara dan selatan), Pagoh (arah selatan), Machap (arah utara), Sungai Perak (arah utara), Gurun (arah utara) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah utara dan selatan).

Ketika ini terdapat kira-kira 40 buah surau di R&R termasuk di kebanyakan hentian sebelah yang dinaik taraf. Selain di kawasan R&R dan hentian sebelah, PLUS juga menyediakan kemudahan surau di plaza-plaza tol utama di sepanjang lebuh raya kendalian kami.

Sebagai tambahan, PLUS juga ingin menjelaskan bahawa syarikat ini telah melabur sebanyak RM260 juta sejak tahun 2005 untuk menaik taraf 21 R&R dan 19 hentian sebelah di rangkaian lebuh raya kami untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai. Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM25 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf beberapa R&R dan hentian sebelah terpilih tahun ini.

MOHD. NIZAM ISMAIL

Ketua Komunikasi Strategik

PLUS Malaysia Berhad