Modul yang dibangunkan melalui kerjasama pintar antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan itu dilaksanakan secara formal di semua sekolah rendah bermula tahun ini. Jalinan kerjasama PKJR sudah bermula sejak 2007 yang mana ia diajar secara penyerapan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu di sekolah rendah sekurang-kurangnya dua jam sebulan.

Saya yakin usaha menerapkan budaya selamat di jalan raya ini mampu menghasilkan generasi muda yang peka dan berwaspada apabila mula memandu atau menunggang kenderaan pada masa hadapan.

Usaha sebegini amat penting kerana secara purata 19 nyawa hilang akibat kemalangan jalan raya setiap hari. Dalam tempoh 10 tahun lalu, sebanyak 67,882 orang terkorban di jalan raya. Golongan muda dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh tersebut di mana lebih 2,000 orang terbunuh saban tahun.

Walaupun jumlah mangsa yang terbunuh akibat kemalangan jalan raya menurun sebanyak 6.8 % kepada 6,284 tahun lepas berbanding 6,740 pada 2017, namun ia tetap menyumbang kerugian kira-kira RM9 bilion.

Oleh itu, usaha mendidik para pelajar mengenai aspek keselamatan jalan raya merupakan langkah terbaik untuk melahirkan pengguna yang lebih bersopan dan bertimbang rasa. Ia akan dapat membantu usaha pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya yang telah melaksanakan pelbagai langkah  bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Kajian menunjukkan tabiat menunggang atau memandu adalah penyumbang utama kemalangan dan faktor kesilapan manusia menyumbang kepada lebih 80 peratus kemalangan. Terdapat juga kes pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah dan ia merupakan antara faktor utama kejadian kemalangan maut.

Jika para pelajar berpegang kepada nilai-nilai pemanduan berhemah, mereka tidak akan tergamak untuk melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.

Di negara-negara maju, mereka amat menitikberatkan kepentingan menyemai nilai-nilai murni di peringkat persekolahan. Ia dilakukan secara berterusan sehingga menjadi budaya hidup. Di Jepun misalnya, kanak-kanak sekolah diajar untuk tunduk menghormati pemandu kereta yang berhenti bagi membolehkan mereka melintasi jalan.

Secara tidak langsung ia mendidik kanak-kanak supaya sentiasa menghormati orang lain dan apabila dewasa mereka tidak akan sanggup untuk memandu atau menunggang secara melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain.

TAN SRI LEE LAM THYE

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya