Pada masa ini, Peguam Negara adalah juga Pendakwa Raya dan ini membangkitkan kerisauan dan kewibawaan terhadap pihak berkenaan bagi memastikan keadilan jenayah dikuatkuasakan secara adil dan saksama.

Seperti sedia maklum, pihak Peguam Negara dan Pendakwa raya boleh diibaratkan sebagai satu entiti yang sama seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145 (2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan dengan jelas bahawa (2) Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain dan (3) Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Di bawah Perkara 145 Perkara (3) Perlembagaan Persekutuan, pihak Peguam Negara ada kuasa budi bicara bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding mengenai suatu kesalahan selain daripada prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Kedudukan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya juga disebutkan secara khusus dalam seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah. Kedudukan pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara boleh menyaksikan konflik kepentingan.

Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Ini akan mewujudkan konflik kepentingan khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kakitangan atau pegawai tertinggi kerajaan.

Oleh yeng demikian, adalah wajar sekiranya cadangan untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara dilihat secara serius oleh pihak kerajaan bagi memastikan sistem keadilan dalam negara tidak diragui serta mengundang persepsi negatif daripada orang ramai.

Bagi memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan, satu jawatankuasa khas perlu dibentuk oleh pihak kerajaan khusus bagi menilai cadangan ini dengan teliti serta dengan kadar segera.

Sekiranya pejabat pendakwa raya dapat dipisahkan daripada pejabat Peguam Negara, maka sesuatu proses pendakwaan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan.

Khususnya bagi kes-kes jenayah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai kerajaan serta rasuah.

Dr. Muzaffar Syah Mallow

USIM