JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan.

Antaranya pandangan yang disiarkan dalam ruangan FORUM Utusan Malaysia bertarikh 5 September 2016 berhubung insiden terbaharu membabitkan kematian wanita muda, Chin Khoon Sing yang dihempap cangkuk kren di Kuala Lumpur pada 25 Ogos yang lalu.

Tragedi berkenaan boleh dielakkan daripada berulang sekiranya semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak pembinaan selamat kepada pekerja dan orang awam.

Tanggungjawab menjaga KKP di projek pembinaan terletak di bahu pemaju, pereka bentuk, kontraktor dan pekerja serta pihak penguat kuasa seperti JKKP, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dari segi perundangan, kewajipan terbesar terletak di bahu kontraktor utama sebagai majikan yang mempunyai kawalan ke atas keseluruhan kerja di tapak pembinaan, terutamanya semasa fasa pembinaan.

Kewajipan ini dinyatakan dengan jelas di bawah seksyen 15 dan 17, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu kewajipan majikan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mereka dan orang awam.

Bagi melaksanakan kewajipan ini, kontraktor utama hendaklah merancang, mengurus, memantau dan menyelaras semua aktiviti kerja, dengan memfokuskan aspek KKP semasa pembinaan.

Ini termasuklah menyediakan sistem kerja selamat dan mengadakan kerjasama dan menyelaras kerja dalam kalangan subkontraktor yang dilantik.

Kontraktor utama juga hendaklah memastikan tapak projek mempunyai pagar sempadan sesuai, untuk mengelakkan pencerobohan dan memastikan bahan binaan tidak mengganggu orang awam.

Pihak berkenaan hendaklah memastikan pekerja dilatih dan cekap untuk melaksanakan tugasan. Untuk tugasan tertentu seperti mengendali kren, pekerja perlu mempunyai sijil yang di keluarkan oleh JKKP.

Kontraktor utama juga perlu melantik penyelia dan pegawai keselamatan dan kesihatan bagi membantu mereka mematuhi kehendak perundangan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai peranan JKKP, pihak kami telah mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan.

Pemeriksaan tapak yang dijalankan sehingga Julai tahun ini adalah sebanyak 6,417 iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 2015.

Dalam tempoh sama, pendakwaan yang dijalankan adalah 21 peratus lebih tinggi berbanding 2015. Jumlah saman yang dikenakan terhadap kontraktor juga mencatatkan peningkatan tahun demi tahun.

Sehingga Julai 2016, jumlah saman sebanyak RM 1.1 juta telah dikenakan kepada kontraktor pembinaan, iaitu meningkat sebanyak 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi menyesuaikan dengan praktik industri semasa, pegawai JKKP juga menjalankan pemeriksaan di waktu malam dan mewujudkan skuad peronda.

Bagi kesalahan berkenaan perlakuan dan keadaan tidak selamat yang serius, tindakan kompaun dikenakan. Pada 2016, sehingga Julai, sebanyak RM439,838 jumlah kompaun telah dikenakan, iaitu meningkat 35 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

JKKP turut menggiatkan usaha dengan melibatkan pemaju dan pereka bentuk projek melalui program taklimat projek pembinaan di pejabat-pejabat JKKP negeri.

Program ini diperkenal bagi meningkatkan kesedaran pemaju dan pereka bentuk mengenai KKP yang seharusnya bermula di fasa reka bentuk.

Bagaimanapun, pegawai JKKP tidak dapat berada di tapak pembinaan sepanjang masa untuk memastikan pematuhan undang-undang.

Oleh itu, pada setiap masa, kontraktor utama, dengan kerjasama pemaju, pereka bentuk, subkontraktor dan pekerja mempunyai tanggungjawab khusus bagi memastikan KKP di tapak pembinaan.

Bagi mencapai tujuan ini, JKKP sedang meminda akta dan membangunkan garis panduan berkenaan fungsi dan tanggungjawab pemaju dan pereka bentuk dengan lebih jelas.

Dalam masa sama, JKKP akan terus mempertingkatkan lagi usaha dan memperbaiki sistem bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan orang awam tidak terjejas akibat projek pembinaan.

DATUK IR. MOHTAR MUSRI

Ketua Pengarah JKKP