SIKAP pilih kasih di tempat kerja secara umumnya dilihat sebagai satu perkara yang negatif malah mempunyai kesan toksik terhadap budaya kerja.

Amalan ini mungkin bermula sebagai sesuatu yang tidak berbahaya tetapi boleh berkembang menjadi punca permusuhan antara kakitangan.

Namun, pilih kasih di tempat kerja tidak semestinya membawa keburukan. Amalan ini mungkin menyemarakkan budaya kerja yang lebih produktif dan lebih baik. Pentadbir atau bos perlu bijak menggunakan pendekatan dan taktik bagi membangunkan persekitaran positif.

Menurut satu kajian antarabangsa, hampir semua pentadbir mengamalkan pilih kasih dan ini bukan sesuatu yang baik. Hampir 92 peratus pegawai kanan memperlihatkan amalan pilih kasih dan 25 peratus pegawai atasan mengaku mengamalkan pilih kasih bagi tujuan kenaikan pangkat kakitangan pilihan mereka.

Responden kajian tersebut mentakrifkan pilih kasih sebagai memberi kelebihan dan layanan istimewa kepada kakitangan seliaan mereka berdasarkan faktor persahabatan atau hubungan tertentu dan bukan kerana kelayakan serta prestasi pekerja.

Memberi keutamaan yang tidak kena pada tempatnya menyebabkan kebanyakan kesan negatif dikaitkan dengan amalan pilih kasih.

Jika faktor tugas hakiki tidak diambil kira sementara faktor tiada kaitan dengan tugasan kerja pula diberi keutamaan, maka ini adalah cara yang salah dan tidak betul dalam amalan mahupun etika kerja.

Ungkapan seperti, “Mengapa kamu tidak boleh menjadi seperti...?” atau memihak kepada orang tertentu berdasarkan kepada kepentingan bersama membawa kepada hasil negatif.

Apabila pentadbir mengutamakan perkara yang tidak berkaitan dengan kerja hakiki, ini menimbulkan persepsi tempat kerja umpama satu pertandingan populariti yang berterusan.

Daripada memberi motivasi kepada rakan sekerja untuk berusaha dengan lebih baik, sikap pilih kasih boleh membawa kepada iri hati, rasa tidak puas hati dan kebencian.

Semangat dan motivasi tempat kerja akan menurun sambil merosakkan perpaduan sehinggakan seorang pentadbir mungkin terlepas pandang peluang pertumbuhan dan 
set kemahiran unik yang ditawarkan seorang pekerja ‘bukan pilihan’.

Adalah lebih baik jika pentadbir bersikap telus, 
berhati-hati dan selektif dalam amalan pilih kasih atas perkara yang betul dan menumpukan kepada prestasi kerja dan tingkah laku kakitangan mereka. Ini boleh membuatkan pekerja berasa lebih bersemangat dan teruja.

Biasanya, kakitangan yang menjadi pilihan atau digemari pentadbir akan mengalami kesan peningkatan nilai harga diri dan lebih cenderung untuk melaksanakan tugas yang memberi manfaat kepada kumpulan.

Pekerja yang menjadi pilihan juga dilihat lebih suka bersosial dan lebih produktif berbanding rakan sekerja lain.

Eloklah sekiranya pentadbir mengelak daripada memihak kepada kakitangan digemari sahaja dan jangan melupakan mereka yang setia bekerja selama ini.

Elakkan memihak kepada mereka yang mempunyai pertalian persahabatan dan jangan terlalu kerap membuat perbandingan terhadap anggota pasukan kerja.

Amalan pilih kasih di tempat kerja adalah sesuatu yang bukan berdasarkan prestasi tetapi pilihan secara subjektif dan boleh merosakkan moral kerja serta produktiviti sesebuah organisasi.

Mengamalkan pilih kasih di tempat kerja boleh menjadi satu perkara yang baik jika anda menunjukkan layanan istimewa berdasarkan prestasi dengan adil dan saksama.

Kakitangan akan berasa dihargai dan lebih cenderung untuk menyumbang dengan lebih baik sementara pentadbir akan dianggap sebagai seorang pemimpin yang berkesan.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur