Setiap tahun perlawanan akhir Piala Malaysia pasti dinantikan oleh setiap rakyat Malaysia kerana pasukan yang berentap pasti menampilkan pemain-pemain hebat.

Bahang kehebatan bola sepak Malaysia tahun 80-an dan 90-an masih segar di ingatan saya selaku peminat bola sepak Malaysia. Utusan Malaysia juga tidak pernah ketinggalan menghangatkan perkembangan bola sepak tempatan dengan menyediakan ruangan sukan dan peraduan teka bola.

Masih segar di ingatan saya, dahulu seawal pagi Ahad akan mencari akhbar Mingguan Malaysia untuk melihat keputusan perlawanan yang berlangsung pada malam sebelumnya kerana ketika itu belum ada siaran langsung apatah lagi media sosial seperti hari ini.

Keputusan perlawanan juga sering kali diletakkan di muka surat depan. Bola sepak kita pernah melahirkan nama-nama seperti Dollah salleh, Azman Adnan, Zainal Abidin Hassan dan terlalu ramai ikon sukan yang tidak boleh disangkal lagi bakat mereka.

Dalam tahun-tahun awal 90-an juga penyokong dari utara tanah air seperti Kedah akan memenuhi jalan-jalan utama kerana waktu itu tiada lagi lebuh raya bagi menyaksikan pasukan mereka di malam perlawanan akhir. Bermacam-macam memori pahit manis direkodkan ketika itu.

Terbukti bola sepak adalah sukan yang dapat menyatukan seluruh negara dan Piala Malaysia tetap menjadi satu acara yang berprestij buat negara kita saban tahun.

Kemodenan bola sepak Malaysia telah meningkat sejajar dengan peredaran zaman dan begitu juga Piala Malaysia, bukan sahaja boleh ditonton secara langsung di televisyen malah dapat ditonton secara dalam talian dan skrin telefon pintar.

Setiap kali melihat ketua pasukan sesebuah negeri menjulang Piala Malaysia, rakyat negeri tersebut juga turut berbangga dengan kejayaan pasukan mereka yang melambangkan kejayaan bagi seluruh penduduk negeri tersebut.

Semoga bola sepak Malaysia terus unggul dan bertaraf antarabangsa. Piala tersebut adalah lambang kemegahan pasukan negeri dan sewajarnya diletakkan pada tempatnya sebagai piala yang terulung dalam sejarah bola sepak negara dan bukan dibawa ke hulu ke hilir tanpa arah tujuan. Majulah bola sepak negara!

BRUNO CONTI

Tapah