Pada setiap kali PRK, suhu politik negara sudah pasti akan meningkat sehingga ke tahap yang amat merimaskan dan saya percaya jika keadaan itu berterusan, sudah tentu rakyat Malaysia akan dikenali sebagai masyarakat yang suka berpolitik 24 jam sehari tanpa henti.

Bagi mengelak persepsi itu wujud, sudah sewajarnya calon Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR tidak bertanding pada PRK kali ini kerana sebagai sebuah parti yang mentadbir kerajaan Negeri Sembilan sekarang, apa juga keputusan PRK Rantau tidak akan mengubah apa-apa kedudukan dalam kerajaan negeri.

Jika PH tidak bertanding, saya yakin rakyat akan memandang tinggi gabungan parti itu kerana benar-benar bersikap matang dan mahu memberi fokus mentadbir kerajaan negeri dan negara.

Dalam pada itu, kerusi DUN Rantau yang disandang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat juga bukanlah kawasan yang mudah buat PH untuk bersaing. Ini kerana Tok Mat dikenali oleh semua penduduk di kawasan itu sebagai anak tempatan dan banyak jasa yang ditabur di situ sewaktu menjadi Menteri Besar sejak 2004.

Pengalaman saya melalui pekan Rantau dan jalan-jalan kampung terutama di Kuala Sawah mendapati sentimen masyarakat setempat kepada Tok Mat adalah ibarat sahabat sejati penduduk di situ.

Melihat kepada rekod cemerlang Tok Mat di Negeri Sembilan sejak 2004, kesimpulan yang boleh saya buat adalah beliau mempunyai iltizam yang tinggi untuk memajukan negeri itu.

Dengan mengambil contoh usaha beliau membentangkan Rancangan Jangka Panjang Negeri Sembilan Moden 2015-2045 yang terkandung di dalamnya Malaysia Vision Valley, sudah pastilah suara Tok Mat amat diperlukan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan PH.

Menyorot kembali kejayaan pemerintahan Tok Mat, bolehlah saya katakan pentadbiran kerajaan yang ada hari ini hanya meneruskan apa yang telah beliau laksanakan sepanjang menjadi Menteri Besar.

Melihat kepada kecemerlangan Tok Mat ketika mentadbir negeri itu dan ditambah lagi dengan kecelaruan PKR untuk menentukan calon yang layak, lebih baiklah PH tidak bertanding bagi memberi laluan kepada seorang ahli korporat yang sanggup meninggalkan gaji besar demi memajukan negeri kelahirannya terus menjadi wakil rakyat di Rantau.

HATHUS

Selangor