Justeru, bagaimana pasangan PJJ ini mengendalikan rumah tangga apatah lagi jika mempunyai anak-anak? Perlukah untuk berhenti kerja atau berhenti belajar demi memastikan kelangsungan sesebuah rumah tangga? Berikut adalah petua bagi mengekalkan perkahwinan pasangan PJJ.

1. Niat kerana Allah

Sebelum memulakan sesuatu tugas, pasangkan niat “Aku ini bekerja atau belajar kerana Allah”. Jika langkah itu baik untuk sesebuah perkahwinan, maka Allah akan memudahkan segala urusan seharian.

2. Fahami tanggungjawab

Walaupun berjauhan, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk lupa tentang tanggungjawab. Membesarkan anak-anak tanpa kehadiran pasangan adalah 100 peratus tidak mudah. Bagi suami, sediakan kelengkapan yang terbaik buat isteri dan anak-anak. Bukan sahaja wang ringgit, malah melibatkan emosi isteri.

3. Ruang komunikasi berkesan

Kerap berhubung. Lebih-lebih lagi jika si isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak. Jangan kedekut untuk menghubungi pasangan masing-masing sebagai galakan dan semangat untuk mereka. Kadang-kadang seorang isteri boleh menjadi sekuat orang lelaki jika selalu diberi pujian dan galakan daripada suami masing-masing.

4. Bersikap jujur

Apabila berjauhan, jagalah batas dalam setiap pergaulan. Apalah ertinya sesebuah perkahwinan jika ada sesuatu yang disembunyikan. Oleh itu, sentiasa berlaku jujur. Jika pasangan hendak mengetahui dengan siapa kita bekerja, dengan siapa kita makan, jawablah dengan hati yang terbuka.

5. Berserah kepada Allah

Ya, kita sering berasa letih, tidak berdaya, cemburu dengan pasangan kerana tidak menguruskan anak, kecewa dengan dugaan yang datang, namun sebagai seorang Muslim dan berkeyakinan penuh terhadap Allah yang Maha Mengetahui, maka sepatutnya kita menyerahkan segalanya kepada Allah.

MAZLEENDA MAZNI
Pensyarah UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor