Masyarakat berilmu mampu menyumbang idea dan kepakaran kepada negara melalui pelbagai ilmu pengetahuan.

Membaca mampu membawa dimensi baharu dalam corak pemikiran dan meningkat kualiti hidup seseorang untuk terus berdaya saing ke arah masa hadapan lebih baik.

Maka sudah tentu generasi muda adalah golongan sasaran bagi memenuhi aspirasi negara yang mahukan amalan membaca hadir sebagai budaya dalam kehidupan.

Perubahan dalam kehidupan mampu dilakukan dalam konteks meluas demi kelangsungan generasi akan datang.

Budaya membaca bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diamalkan, cuma memerlukan pengorbanan dan kesungguhan dalam melakukannya.

Kesedaran dan komitmen mengenai pentingnya amalan membaca mampu diterjemahkan dan direalisasikan dalam pelbagai bentuk program dan salah satunya ialah melalui penganjuran pesta buku.

Ini langkah efektif bagi menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Melalui penganjuran ini, masyarakat akan mudah mendapat bahan-bahan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu kerana kebiasaannya melibatkan kolaborasi para pengusaha kedai buku, penerbit, universiti dan penggiat mahupun penerbit dari dalam dan luar negara.

Pesta buku sememangnya platform terbaik untuk mempromosi pelbagai jenis bahan bacaan mengikut kehendak dan keperluan pengunjung serta menjadi titik permulaan meyakinkan dalam menyebarluas budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Bagi pencinta ilmu, pesta buku sememangnya dinanti-nantikan kerana di sinilah mereka berkesempatan untuk membuat carian bahan bacaan dan pemilihan pelbagai koleksi melalui promosi oleh penerbit.

Secara amnya, jika kita lihat sambutan masyarakat adalah sangat menggalakkan pada setiap kali pesta buku berlangsung.

Ini adalah suatu mesej positif bahawa masyarakat kita minat terhadap buku. Kehadiran para penulis buku di tapak pameran juga menghangatkan lagi acara kerana sememangnya rata-rata pengunjung menunggu peluang berinteraksi secara terus.

Kejayaan penganjuran pesta buku salah satu penanda aras bahawa masyarakat gemar membaca buku atau bahan bacaan merentas pelbagai disiplin ilmu.

Sehubungan itu, kita seharusnya menyahut cabaran untuk mempergiatkan usaha dan membudayakan amalan membaca sejajar dengan harapan negara bagi menjadikan amalan ini sebagai suatu kemestian dalam diri setiap anggota masyarakat.

Terdapat pelbagai kempen dijalankan demi untuk merealisasikan harapan agar masyarakat menjadikan aktiviti membaca sebagai amalan sekali gus membudayakannya dalam kehidupan.

SHAHRIL ANUAR 
ABDUL GHALIM
Rembau