Langkah itu menggambarkan sikap tidak prihatin penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap kesejahteraan masyarakat.

Sepatutnya acara keramaian berhampiran kawasan hospital dielakkan sama sekali demi kepentingan orang ramai. Perkara itu perlu menjadi keutamaan teratas, apatah lagi apabila melibatkan hal-hal kesejahteraan awam.

Pengalaman penulis berada di HPP selama lebih sebulan menjaga anak yang dimasukkan ke dalam wad dan terpaksa berulang alik dari rumah setiap hari sejak Disember 2016 memberikan pengalaman cukup bermakna termasuk dalam menghadapi kesesakan jalan raya.

Pengunjung juga menghadapi masalah untuk meletakkan kereta kerana tempat letak kenderaan di sekitar kawasan hospital itu yang terhad.

Pihak penganjur perlu memahami bahawa setiap detik bagi seseorang yang berjuang dengan nyawa amat bermakna, terutamanya bagi ambulans yang keluar masuk kawasan hospital.

Bukan sahaja HPP yang terjejas akibat penganjuran pesta berkenaan tetapi beberapa hospital swasta lain yang berada di sekitar kawasan sama. Jangan perjudikan nyawa mereka yang berkejar dengan masa!

Hanya mereka yang pernah melaluinya akan merasai betapa pentingnya perkara seperti itu.

Bagi keluarga yang terpaksa datang dan berkumpul di hospital bagi menunggu keluarga terdekat atau sahabat handai yang berada di Unit Rawatan Rapi, mereka sedar bahawa kawasan sekitar hospital bukannya tempat untuk bersuka-ria dan diadakan pelbagai pertunjukan.

Kesesakan lalu lintas dan tempat letak kereta yang terhad akan menjadikan pelawat tertekan. Janganlah ambil mudah kerana hal ini melibatkan nyawa manusia dan kepentingan kaum keluarga yang perlu memberi sokongan kepada pesakit di hospital.

Lihatlah hal ini daripada perspektif pesakit dan keluarga mereka. Betapa juga akan memberi kesan besar kepada doktor, jururawat dan kakitangan di hospital. Semuanya akan terjejas apabila berlaku kesesakan lalu lintas dan tempat letak kenderaan penuh.

MOHAMAD ABDULLAH

Pulau Pinang