Jika berpeluang menjenguk ke dalam longkang di sekeliling kita, pasti ramai terkejut apabila melihat sampah dan bahan sisa tersekat di dalamnya terutama di sekitar kawasan tapak pembinaan.

Perangkap kelodak yang dipasang di kawasan pembinaan juga tidak diselenggara dengan baik menyebabkan sedimen dan bahan-bahan lain terkumpul. Keadaan ini akan menyebabkan longkang tersumbat dan mengundang banjir kilat apabila hujan lebat turun.

Pengawasan lemah, sikap tidak peduli dan kekurangan peruntukan adalah faktor utama mengapa kemudahan di bandar besar tidak diselenggara dengan baik.

Mutakhir ini, banjir kilat juga semakin meningkat dan setiap kali hujan lebat turun di beberapa kawasan di Lembah Klang akan dilanda masalah itu. Hal itu menjadikan pengguna jalan raya terjejas teruk akibat sebahagian jalan digenangi air.

Seperti yang telah saya ketengahkan beberapa kali sebelum ini, keseluruhan sistem perparitan di Lembah Klang perlu dipertingkatkan untuk mengatasi masalah yang semakin buruk ini. Walaupun Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) telah dibina untuk menangani masalah banjir, ia tidak mampu mencapai matlamatnya jika sistem perparitan tersumbat.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa perlu segera meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan di pusat bandaraya dan kawasan sekitarnya.

Sejak sekian lama, pihak media telah mengetengahkan isu kelemahan aspek penyelenggaraan ini yang mengurangkan keupayaan sistem saliran di dalam bandar dan menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat turun.

Saya juga agak terkejut apabila seorang bekas pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendedahkan bahawa sebahagian longkang di dalam bandar raya itu hanya mampu menampung separuh daripada jumlah air yang sepatutnya boleh disalirkan ke sungai. Walaupun ada pihak mendakwa sistem saliran di Kuala Lumpur agak baik, kelemahan penyelenggaraan yang kronik telah menyebabkan ia kurang berkesan untuk mengalirkan air ke sungai-sungai.

Dilaporkan mendapan, sampah dan pelbagai jenis bahan buangan telah menyebabkan keupayaan sistem saliran di Kuala Lumpur berkurangan sebanyak 50 peratus manakala kekurangan penyelenggaraan bakal mengundang lebih banyak insiden banjir di masa akan datang.

Tahun lalu, dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur mengakui masalah banjir kilat di bandar raya itu adalah disebabkan kelemahan sistem perparitan dan kurangnya perhatian untuk meningkatkan sistem kawalan banjir.

Berdasarkan pengamatan saya, orang ramai juga perlu dipersalahkan kerana gemar membuang sampah merata-rata sehingga menyebabkan sistem perparitan tersekat. Jika orang ramai terus membuang pelbagai benda ke dalam longkang dan sungai, saya percaya keseluruhan sistem perparitan akan tersekat dan banjir besar bakal melanda jika hujan lebat membasahi Kuala Lumpur. Turut dilaporkan keadaan tiga anak sungai yang menuju ke Sungai Klang menyumbang kepada masalah itu walaupun dengan kewujudan terowong SMART.

Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan projek pembinaan kawasan takungan air bagi Sungai Bunos selepas projek yang sama berjaya dilaksanakan untuk Sungai Klang dan Sungai Gombak. Kawasan takungan air untuk Sungai Bunos ini dapat menghalang banjir kerana ia mampu menyimpan limpahan air berlebihan dari sungai berkenaan.

Saya percaya terowong SMART semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah banjir ini kerana kita sebenarnya memerlukan jaringan sistem perparitan, kolam takungan dan terowong air bawah tanah untuk menyalur air hujan dengan lebih berkesan.

Sebenarnya penghuni bandar raya dan pengguna jalan raya sudah muak berhadapan dengan masalah banjir terutamanya ketika waktu puncak. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlakunya suatu tragedi untuk bertindak menyelesaikan masalah yang semakin meruncing ini.

Pihak berkuasa seharusnya menyediakan pelan komprehensif untuk menyelesaikan isu banjir kilat dengan segera kerana orang ramai tidak sepatutnya diselubungi dengan masalah ini secara berterusan.

 

TAN SRI LEE LAM THYE

Anggota Majlis 
Keselamatan Aktiviti Air