Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sebagai badan pelaksana bagi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MCTS) bersetuju dengan pandangan penulis artikel berkenaan berkaitan peranan dan kepentingan persijilan pengurusan hutan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

Tidak dinafikan bahawa hutan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan iklim dan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan bekalan sumber air bersih untuk kegunaan semua. Hutan juga adalah modal semula jadi yang memiliki nilai ekonomi tinggi.

Dalam hubungan ini, tidak hairanlah pemeliharaan sumber tidak ternilai itu juga menjadi satu komponen utama dalam beberapa dasar kebangsaan seperti Dasar Alam Sekitar Negara dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan sebagai pelan hala tuju negara ke arah pencapaian matlamat dalam Sustainable Development Goals (SDG) dan Dasar Perubahan Iklim Negara. Di bawah MTCS, persijilan pengurusan hutan adalah berpandukan kepada Petunjuk dan Kriteria Malaysia bagi Persijilan Pengurusan Hutan (MC&I) yang telah dibangunkan melalui proses konsultasi dengan pemegang taruh (stakeholders).

Standard MC&I mengandungi prinsip-prinsip untuk memastikan amalan pengurusan hutan mengambil kira aspek-aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar yang merupakan tiga tunggak utama kelestarian hutan.

Pengiktirafan Programme for Endorsement of Forest Certification (PEFC) sejak 2009 telah meningkatkan imej dan kredibiliti MTCS di dalam dan luar negara.

Seperti skim persijilan hutan lain, MTCS adalah satu skim sukarela. Sejak pelaksanaan MTCS pada 2001, jumlah kawasan hutan yang telah dipersijilkan adalah seluas 4.1 juta hektar atau 28 peratus daripada jumlah kawasan hutan simpanan kekal di Malaysia.

Dalam konteks ini, seruan penulis artikel tersebut untuk memandatorikan persijilan pengurusan hutan ada kebaikan dan harus diberi pertimbangan sewajarnya. MTCC berpendapat pendekatan itu akan dapat menyumbang dan mempercepatkan pencapaian 100 peratus persijilan bagi semua hutan simpanan kekal di Malaysia.

Hal itu selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) yang menyasarkan 100 peratus persijilan kayu dan produk kayu diperoleh dari hutan yang diuruskan secara mampan menjelang 2025.

Walau bagaimanapun, memandangkan isu berkaitan dengan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sokongan padu daripada kerajaan 
negeri amat diperlukan 
untuk melaksanakan cadangan ini.

YONG TENG KOON

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC