SAYA harap Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain dapat mempergiatkan pelaksanaan larangan merokok di tempat awam khususnya di restoran dan kedai makan. Janganlah umpama melepaskan batuk di tangga cuma ‘meriah’ ketika peraturan dan undang-undang baharu diperkenalkan tetapi kemudian terbiar tanpa penguatkuasaan.

Tengok sahaja di mana-mana kedai makan atau tempat awam, perokok masih lagi sesuka hati melepaskan asap racun mereka ke muka kanak-kanak dan ibu mengandung.

Beberapa kejadian sebelum ini menunjukkan perokok menengking orang yang menegur perbuatan biadab mereka itu atas dasar ‘hak peribadi’ dan kononnya tidak mengganggu hidup orang lain.

Pemilik premis pula sekadar menjadi ‘penonton’ kerana tidak berani dan tiada dorongan untuk campur tangan. Ada juga menyediakan sudut khas merokok tetapi tidak mengarahkan perokok berpindah dari kawasan bukan merokok.

Saya cadangkan pemilik premis perlu dipertanggungjawabkan untuk melarang atau menghalau perokok tegar atau berdepan risiko tindakan undang-undang. Dengan cara itu, penguatkuasaan tidak bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan sahaja.

IBU MENGANDUNG
Selayang, Selangor