SUDAH tiba masanya dibuka pusat beli-belah khusus bagi menjual pelbagai jenis produk keluaran syarikat bumiputera. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Antara yang menarik perhatian pengunjung adalah produk berkualiti tinggi yang dikeluarkan oleh syarikat bumiputera yang sebelum ini kita belum pernah melihatnya.

Persoalan saya adalah ke mana arah tuju barangan keluaran bumiputera itu selepas berakhir MAHA 2016?

Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini adalah sukar untuk mendapat barangan seperti bahan makanan dan herba yang dihasilkan oleh syarikat bumiputera.

Kebanyakannya hanya boleh dibeli secara dalam talian atau di premis tertentu sahaja termasuk di pasar tani.

Kalau hendak mencarinya di pusat beli-belah yang ternama memanglah tidak akan dijumpai.

Kalau ada pun, produk berkenaan dipamerkan di sudut terpencil pusat beli-belah dan jenis barangan yang dijual juga tidak banyak.

Oleh itu, saya mencadangkan dibuka pusat beli-belah khusus bagi menjual pelbagai jenis produk keluaran syarikat bumiputera.

Kalau pasar raya Mydin begitu popular kerana menjual barangan berkualiti dengan harga murah, kenapa tidak dibuka pula gedung beli-belah yang menjual 100 peratus produk bumiputera.

Saya yakin pusat beli-belah itu akan mendapat sambutan memberangsangkan kerana selama ini ramai dalam kalangan umat Islam merungut kerana barangan yang dibeli diragui status halal.

Kalau boleh semua produk buatan bumiputera yang dipromosikan semasa MAHA 2016 dipasarkan secara meluas kerana orang ramai memang sentiasa menantikan barangan yang terjamin bersih, halal dan berkualiti.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban