Saya juga mengalu-alukan syarat wajib simpanan RM300 bagi setiap penyewa yang akan dipulangkan selepas tamat tempoh sewaan lima tahun dan jumlah RM18,000 itu boleh dijadikan deposit untuk membeli rumah sendiri.

Jumlah sewa dan simpanan sebanyak RM800 sebulan itu sebenarnya terlalu rendah jika mahu dibandingkan kadar sewa kebanyakan rumah di pinggir dan luar bandar kini sudah melebihi RM1,000.

Di tambah pula kos minyak dan tol jika tinggal jauh dari tempat kerja malah lebih menyakitkan hati begitu banyak masa dihabiskan di jalan raya setiap kali pergi dan pulang dari tempat kerja.

Pang­sapuri Bandaraya @ Sungai Udang di Segambut yang dimajukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lum­pur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tem­patan itu diharap menjadi salah satu penyelesaian isu kediaman penduduk di kawasan bandar.

Bayangkan rumah pangsapuri di tengah-tengah pusat bandar yang kebiasaannya disewakan sehingga RM2,000 sebulan siap dengan tempat letak kereta serta kemudahan seperti kolam renang, surau, dewan dan kedai tetapi cuma perlu keluarkan RM800 sebulan.

Saya berharap kerajaan akan meluaskan konsep ini diluaskan secara berperingkat ke semua bandar-bandar utama di seluruh negara supaya mereka yang bekerja di kawasan bandar mempunyai pilihan ketiga dalam memilih untuk mengutamakan kediaman atau tempat kerja.

Selama ini, golongan pekerja terpaksa memilih antara menyewa murah mahupun membeli rumah murah di pinggir dan luar bandar tetapi perjalanan jauh ke tempat kerja, atau menyewa pada kadar mahal di tengah bandar yang dekat dengan tempat kerja.

Lihat sahaja kesesakan lalu lintas di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di waktu puncak. Itu bukti ramai yang bekerja sekitar Kuala Lumpur terpaksa membeli rumah atau tinggal di rumah keluarga di Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pahang dan Hulu Selangor.

Mereka terpaksa menghabiskan antara dua ke enam jam pergi dan balik dari tempat kerja setiap hari tetapi melalui konsep baharu ini, cuma memerlukan 10 hingga 15 minit perjalanan sehala ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Projek perintis yang menyediakan 1,251 unit pangsapuri itu dijangka siap menjelang penghujung 2019 dengan kumpulan sasar pendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, suka saya cadangkan kerajaan memperincikan kelayakan penyewa mengikut bilangan anak serta pemilikan aset khususnya mereka yang sudah mempunyai rumah sendiri.

Lebih elok sekiranya konsep sewa murah ini diutamakan bagi golongan yang tidak mempunyai rumah sendiri atau jika sudah ada kediaman sendiri, lokasi rumah itu di negeri lain daripada bandar tempat mereka bekerja.

Selain itu, pemohon perlu ditapis supaya tidak bertindih dengan skim perumahan lain seperti Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lain-lain.

Dikhuatiri pihak yang mendapat manfaat daripada dua atau lebih projek perumahan kerajaan akan membiarkannya kosong atau disewakan kepada golongan tidak layak seperti mana dikesan dalam kalangan sesetengah pemilik rumah PPR sebelum ini.

Mungkin ramai pemaju dan spekulator perumahan tidak suka konsep diperkenalkan Perdana Menteri ini tetapi saya harap kerajaan mengembangkannya sejauh mungkin bersama projek-projek perumahan lain seperti PR1MA dan PPA1M bagi mengimbangi aktiviti mengaut untung dalam sektor perumahan.

Kebanyakan rakyat kini sudah berputus asa mahu memiliki rumah sendiri khususnya di kawasan bandar disebabkan harga rumah yang tidak masuk akal dan lebih fokus kepada golongan kaya serta warga asing.

Saya harap kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam isu perumahan bukan sahaja dari sudut mendapatkan kediaman sesuai dan mampu milik malah mengawal aktiviti mengambil untung oleh golongan pelabur dan spekulator.

ABDUL RAHMAN SALLEH

Seremban 2, Negeri Sembilan