PENGGUNAAN kod QR boleh membantu dalam penyampaian maklumat kerajaan secara lebih optimum kepada masyarakat. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Penggunaan telefon pintar secara meluas memperlihatkan keupayaan teknologi tersebut untuk melakukan sesuatu di luar daripada kebiasaan.

Aplikasi yang digunakan juga bersifat mudah dan mesra pengguna dan sebahagiannya boleh dimuat naik secara percuma. Antara aplikasi yang kian tular adalah kod QR.

Akronim QR adalah singkatan kepada Quick Response yang menyediakan capaian pantas kepada sesuatu bahan maklumat hanya dengan mengimbas kod QR.

Berbagai dokumen boleh dijana untuk mendapat kod QR dengan syarat penyedia dokumen perlu mencipta pautan (link) terlebih dahulu.

Edaran kod QR ini boleh dilakukan secara meluas sama ada melalui e-mel, aplikasi WhatsApp atau mencetak kod QR pada sehelai kertas.

Penggunaan kod QR boleh membantu dalam penyampaian maklumat kerajaan secara lebih optimum kepada masyarakat dan memberi impak berkesan untuk dipraktikkan. Tempatkan sahaja kod QR ini di lokasi-lokasi umum dan strategik yang mudah diakses.

Di samping itu, penggunaan kod QR secara meluas merupakan peluang terbaik untuk menggalakkan masyarakat mengisi masa terluang dengan membaca.

Masyarakat boleh mengakses bahan-bahan bacaan terpilih yang disediakan. Kod QR juga berperanan untuk memudahkan komunikasi dokumen dalam tadbir urus sesebuah organisasi.

Minit mesyuarat atau sebarang bentuk edaran bercetak boleh dipraktikkan melalui penggunaan kod QR ini selain mengelakkan pembaziran kertas.

Malaysia kini memasuki era digital. Semua pihak harus berperanan dalam memastikan matlamat era digital mampu dicapai.

Kempen hijau dan kempen masyarakat tanpa kertas (paperless society) merupakan paksi utama dalam memanfaatkan teknologi secara menyeluruh dan optima.

Persoalannya adakah rakyat Malaysia bersedia berganjak ke era capaian pantas ini?

AZURA ABDUL JAMIL

Pensyarah Kanan Pengurusan Maklumat UiTM