Merujuk kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), permasalahan mekanikal sedemikian dapat diperbaiki dengan pemasangan brek retarder dan usul mewajibkan pemasangan alat itu telah disuarakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

Kedua, kelemahan atau kesilapan manusia itu sendiri dan dalam kemalangan itu, kita merujuk kepada pemandu lori mungkin dalam keadaan letih atau memandu dengan laju.

Permasalahan itu boleh dikurangkan dengan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan alat penghad kelajuan di dalam kenderaan bagi tujuan pemantauan secara langsung terhadap tingkah laku pemandu oleh majikan dan pihak berkuasa.

Penunggang motosikal juga perlu diingatkan agar menunggang mengikut had laju serta sentiasa mengekalkan jarak selamat antara mereka atau kenderaan lain terutama ketika memotong.

Selain itu, penganjur perlu memastikan keselamatan ahli konvoi dengan meletakkan pengiring (marshal).

Kehadiran pengiring-pengiring ini yang mencukupi dapat meningkatkan kepekaan pengguna jalan raya lain agar lebih berhati-hati terutamanya pemandu kenderaan berat.

Walau bagaimanapun, sebagai pengguna jalan raya lain, mereka juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan memastikan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Sekiranya berasa letih, eloklah berehat sebentar di mana-mana kawasan rehat dan rawat (R&R).

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi MIROS