Kita tidak boleh hanya mengharapkan kerajaan melaksanakan segala agenda bagi menjaga hak rakyat dan menjayakan pembangunan negara kerana kemungkinan terdapat isu-isu tertentu yang mungkin terlepas pandang oleh pihak pemerintah.

Setiap manusia akan melakukan kesilapan dan ini termasuk kerajaan yang telah dipilih melalui proses pilihan raya untuk mentadbir negara dan berkhidmat kepada rakyat.

Tidak ada satu kerajaan dalam dunia yang sempurna dan terlepas daripada melakukan kesilapan. Akan ada isu-isu tertentu apabila kesilapan berlaku.

Kesilapan dan isu-isu yang terlepas pandang inilah yang memerlukan perhatian teliti daripada pihak pembangkang untuk melakukan proses pembetulan.

Proses pembetulan ini selalunya dipanggil sebagai semak dan imbang. Di negara-negara mengamalkan demokrasi berparlimen, kehadiran pasukan pembangkang memainkan peranan penting dalam melakukan semak dan imbang dalam setiap perkara yang dilakukan kerajaan.

Proses semak dan imbang ini penting bagi memastikan kerajaan sentiasa menghormati dan mematuhi proses undang-undang negara serta pada masa sama mengelakkan pemberian kuasa pemerintahan terlalu besar kepada pihak kerajaan.

Amat sukar untuk proses semak dan imbang ini dilakukan sekiranya pasukan pembangkang tidak bersatu hati, saling bertelagah dan yang paling teruk meninggalkan terus pasukan yang dibentuk sejak tamatnya pilihan raya lalu.

Kehadiran pasukan pembangkang yang kuat juga penting bagi memastikan kerajaan tidak cuai dan leka dalam menjalankan fungsi pentadbiran negara serta memberi khidmat mereka kepada rakyat.

Pasukan pembangkang boleh memain peranan menasihati kerajaan sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam proses urus tadbir atau ketika memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Kehadiran pembangkang yang kuat penting supaya dapat diwujudkan persaingan sihat antara pasukan pembangkang dan pihak kerajaan. Dengan adanya pasukan pembangkang yang kuat, semua pihak khususnya kerajaan akan bekerja lebih kuat lagi bagi memenangi hati rakyat.

Sekiranya tiada pasukan pembangkang kuat, pihak kerajaan akan menjadi terlebih yakin dalam menjalankan urusan sehingga menjejaskan kualiti pentadbiran negara serta khidmat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Oleh itu, adalah penting setiap anggota pembangkang yang telah dipilih rakyat melalui proses pilihan raya lalu baik di peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri menyedari peranan penting yang perlu dimainkan mereka.

Pihak kerajaan juga harus mengubah mentaliti dan pandangan mereka terhadap kehadiran pasukan pembangkang yang kuat.

Kehadiran pembangkang tidak harus dilihat sebagai satu perkara negatif kerana mereka dapat memberi manfaat kepada kerajaan dalam membangunkan negara serta membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)