Berdasarkan soalan lisan yang dikemukakan oleh pemberita kepada saya melalui telefon, saya menjelaskan bahawa kurangnya pengawasan adalah antara punca yang ‘mungkin’ menyebabkan kren pelancar galang tumbang di tapak pembinaan MRT di Jalan Jinjang, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

Saya turut menerangkan bahawa aspek pemantauan dan penyeliaan kerja-kerja di tapak pembinaan ini amat penting dan mestilah dilaksanakan mengikut peraturan dan peruntukan undang-undang oleh mereka yang telah diberikan tanggungjawab, termasuk penyelia keselamatan tapak binaan (SSS).

Namun, saya tidak pernah meletakkan kesalahan kepada SSS kerana aspek keselamatan di tapak binaan adalah tanggungjawab semua pihak termasuk majikan dan pekerja.

Tanggungjawab ini turut dipikul kontraktor dan sub-kontraktor serta pihak pengurusan di tapak binaan terutamanya yang menguruskan aspek keselamatan iaitu pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO), SSS dan penyelia keselamatan kontraktor (CSS) yang telah dilantik.

Undang-undang dan peraturan sedia ada telah menggariskan tanggungjawab semua pihak termasuk SHO, SSS dan CSS bagi memastikan tempat kerja selamat manakala semua kerja di tapak binaan termasuk kerja-kerja spesifik seperti yang melibatkan kren, adalah selamat sebelum, ketika dan selepas dilaksanakan.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) amat sedar mengenai kepentingan individu terbabit dan turut menyediakan latihan bagi SHO dan SSS.

Berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia ke-11, negara kita memerlukan seramai 8,845 orang SSS pada tahun 2015 tetapi jumlah yang berdaftar dengan NIOSH cuma 1,369 orang pada tahun tersebut dan 2,516 pada 2016.

Sehubungan itu, kita memerlukan lebih ramai SSS agar pemantauan dan penyeliaan di tapak pembinaan dapat dibuat dengan lebih baik dan teratur.

Bagi meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan MRT, NIOSH turut mengadakan kerjasama dengan MRT Corp. untuk melaksanakan program behavioural-based safety yang menekankan mengenai perubahan sikap bagi mengurangkan kemalangan.

Saya percaya jika semua pihak menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang ditetapkan undang-undang, kemungkinan untuk berlakunya kemalangan di tapak pembinaan dapat dikurangkan ke paras minimum.

TAN SRI LEE LAM THYE


Pengerusi NIOSH