KERATAN Utusan Malaysia kelmarin.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara sentiasa memantau dan mengambil tindakan dari semasa ke semasa terhadap semua aktiviti di laut, terutama penangkapan ikan menggunakan peralatan yang menyalahi undang-undang.

Konsep strategik operasi yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada enam aspek iaitu kesedaran bidang kuasa maritim, tindak balas pantas, pencegahan nyata, sentiasa hadir, menjangkau ke hadapan dan kerjasama komuniti maritim.

Dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan operasi dari Perlis hingga ke Perak, sebanyak enam aset akan sentiasa berada di laut setiap hari. Ini tidak termasuk aset-aset yang sentiasa bersedia untuk diatur gerak jika diarahkan.

Kerjasama agensi lain juga amatlah perlu dalam menyalurkan maklumat bagi membantu Maritim Malaysia bertindak lebih pantas dan tepat. Komuniti nelayan boleh menyalurkan maklumat dan aduan menerusi sistem E-Aduan Maritim yang disediakan.

Maritim Malaysia memahami keprihatinan semua pihak dalam menjaga kebajikan nelayan pantai, bagaimanapun keupayaan kami perlu diambil kira berikutan terdapat kekangan tertentu seperti perlu memberi keutamaan kepada kes kecemasan di laut bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Namun, kekangan itu bukan alasan untuk pihak kami bersikap sambil lewa dalam menguatkuasakan undang-undang. Berdasarkan perangkaan bagi Daerah Maritim 1 Langkawi (Kedah), sebanyak 3,170 pemeriksaan dan 61 tangkapan telah dilakukan sepanjang 2017.

Untuk makluman, sepanjang Januari 2018, telah dilakukan tiga tangkapan dan pada awal Februari terdapat satu tangkapan yang melibatkan bot nelayan melanggar syarat lesen.

MARITIM MALAYSIA
WILAYAH UTARA

Langkawi