Sungguh sayu melihat orang tua yang mencecah umur 90 tahun tetapi masih bekerja sebagai pencuci atau pengutip barang lusuh demi kelangsungan hidup di sebuah negara yang kos sara hidupnya sangat tinggi.

Ada yang ditinggalkan anak-anak dan ada juga bekerja kerana tidak mahu membebankan anak mereka kerana khuatir gaji anak tidak cukup untuk menampung anak dan isteri jika terpaksa perlu menjaga ibu bapa.

Di Malaysia pun ada golongan warga emas yang mengutip barang lusuh mahupun bekerja sebagai tukang cuci dan pengawal keselamatan tetapi bilangannya tidak begitu ketara berbanding yang didakwa dalam artikel tersebut.

Saya harap kita tidak mengabaikan kebajikan warga emas dalam usaha mengejar status negara maju, biarlah kekal negara membangun jika status ‘maju’ itu bermakna ibu bapa kita terpaksa bekerja sehingga mati.

Perlu ada satu skim perlindungan warga emas yang ditinggalkan anak atau tiada keluarga lain untuk meneruskan hidup selepas bersara wajib pada umur 60 tahun.

ADIK MANJA

Shah Alam, Selangor