Ini susulan pengumuman maklumat pengisytiharan pendapatan yang telah dibuat SPRM melalui portal rasminya baru-baru ini. Maklumat terbabit telah dimuat naik ke dalam portal SPRM tanpa memaklumkan butiran terperinci mengenai jumlah yang dipaparkan sama ada bagi tempoh sebulan atau setahun.

Jumlah pengisytiharan harta yang dipaparkan melalui portal SPRM berkenaan dilihat tidak memadai kerana rakyat secara keseluruhannya ingin mengetahui secara terperinci jumlah harta yang dimiliki setiap Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan.

Perincian terhadap jumlah harta yang dimiliki setiap pemimpin dan wakil rakyat ini adalah penting untuk menjamin ketelusan setiap Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan yang dipilih rakyat.

Rakyat secara keseluruhannya ingin tahu tahap kekayaan atau kemewahan yang dimiliki setiap wakil rakyat serta ahli keluarga terdekat mereka.

Oleh yang demikian, setiap daripada mereka bukan sahaja perlu mengisytiharkan jumlah terkini pendapatan yang mereka perolehi, mereka juga perlu mengisytiharkan jumlah terkini keseluruhan harta atau aset yang mereka miliki.

Ini termasuk jumlah terkini pendapatan dan harta keseluruhan yang dimiliki anggota keluarga terdekat seperti suami, isteri, anak–anak, ibu bapa, saudara mara terdekat dan lain–lain.

Perincian terhadap jumlah terkini keseluruhan pendapatan dan harta yang dimiliki wakil rakyat serta ahli keluarga terdekat mereka adalah penting bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit serta salah faham berlaku pada kemudian hari.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, adalah dicadangkan supaya proses penilaian pendapatan dan harta yang dimiliki wakil rakyat dan ahli keluarga mereka dilakukan oleh penilai bertauliah supaya tiada pendapatan atau harta terlepas pandang untuk dinilai.

Bagi memastikan proses pengisytiharan pendapatan dan semua harta tersebut berjalan dengan baik serta berkesan, SPRM boleh melakukan proses pindaan terhadap mana–mana peruntukan undang–undang sedia ada dengan mewajibkan setiap wakil rakyat dan pentadbir dalam kerajaan melakukan proses pengisytiharan pendapatan dan semua harta dimiliki mereka dengan kadar segera.

Melalui peruntukan undang–undang ini juga, hukuman keras boleh dikenakan terhadap mana–mana wakil rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan yang gagal mengisytiharkan jumlah terkini pendapatan mahupun semua harta yang dimiliki mereka serta ahli keluarga terdekat kepada SPRM.

DR. MUZAFFAR
SYAH MALLOW

USIM