Pelbagai cara digunakan untuk mencari sumber kewangan antaranya dengan memotong gaji menteri dan sebagainya.

Kerajaan telah menubuhkan Tabung Harapan Malaysia bagi mendapatkan derma daripada rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk menderma wang bagi membantu sumber kewangan negara manakala yang tidak berkemampuan tidak boleh berbuat apa-apa untuk negara, sekadar menjadi pemerhati sahaja.

Ketidaksamaan pendapatan di negara ini dilihat semakin buruk kerana tidak ada sistem kebajikan yang sesuai untuk rakyat Malaysia malah sebahagian besar daripada mereka tiada pendapatan yang mencukupi untuk bersara.

Jadi adalah disarankan di sini agar rakyat Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan 50 orang individu terkaya dengan memiliki harta AS$70 bilion (RM280 bilion) mengikut laporan majalah Forbes baru-baru ini boleh tampil membantu menyelamatkan sumber kewangan negara dengan menderma sekurang-kurangnya lima peratus daripada kekayaan mereka itu kepada Tabung Harapan Negara.

Tidakkah mereka berasa malu melihat rakyat biasa dengan pendapatan kecil dan sederhana menyumbang sebanyak mungkin ke tabung tersebut sedangkan jutawan dan bilionair hanya memerhati dari jauh?

Rakyat yang mampu menderma perlu mengetuai aktiviti menderma kepada tabung tersebut. Inilah saat getir bagi para jutawan perlu berkorban membantu negara. Mereka perlu memikirkan apa yang boleh mereka sumbangkan untuk negara bukan lagi memikirkan apa yang negara boleh sumbangkan untuk mereka.

Dengan cara ini, sedikit sebanyak boleh melunaskan segala hutang negara yang dikhabarkan mencecah RM1 trilion Itu.

OUI BIN SAL

Kg. Belimbing, Kelantan