Mengambil contoh di tempat kerja, saya perhatikan ada dalam kalangan kakitangan khususnya ketua unit atau jabatan yang terlalu bertegas menguatkuasakan peraturan, itu pun mengikut peraturan kegemaran mereka sahaja.

Saya mahu menegur kerana alasan mereka mahu menjaga disiplin adalah tidak kukuh kerana pada masa terlalu tegas akan menyebabkan kakitangan kekok dan kurang semangat bekerja.

Tidak menjadi kesalahan besar jika lewat beberapa minit masuk ke tempat kerja mahupun pulang dari makan tengah hari kerana kebiasaannya pekerja bukannya pulang tepat pada waktunya.

Tidak adil untuk menghukum semua pekerja disebabkan mahu mengawal seorang dua yang malas atau tidak berdisiplin. Sampaikan masa bersolat pun mahu dicatu dengan ketat.

Ada masanya peraturan itu boleh ‘dilenturkan’, ada masanya perlu dipatuhi sepenuhnya. Perkara paling penting adalah kerja disiapkan tanpa masalah atau kesilapan.

Saya sebagai orang tua menegur anak muda yang baru memegang kedudukan dalam sesebuah tempat kerja, jangan terlalu ghairah dengan pangkat dan kuasa, kelak diri yang merana.

Utamakan kemesraan dengan pekerja di bawah dan majikan di atas untuk semua sama-sama meraih rezeki tanpa perlu menindas sehingga wujud rasa riak atau iri hati. Jangan lebih sudu daripada kuah, saya bos besar pun masih rileks sahaja.

USAHAWAN BUMIPUTERA

Klang, Selangor