Akta khusus mengenai perkara terbabit adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara kita untuk jangka masa panjang. Sekiranya mana-mana ADUN atau ahli Parlimen mengambil tindakan sesuka hati dengan melompat parti atau mengosongkan kerusi yang telah dimenangi tanpa sebarang sebab munasabah, ini akan menyebabkan negara kita berada dalam keadaan politik yang tidak menentu buat selama-lamanya.

Sekiranya keadaan politik negara kita tidak menentu, ia sudah pasti akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam negara kita. Apa yang paling penting, akta berkenaan akan melindungi kepentingan rakyat yang telah memberi undi terhadap ahli politik yang telah dipilih dan dilantik melalui proses pilihan raya.

Namun perlu diketahui, adalah sukar untuk akta terbabit dilaksanakan pada masa kini di negara kita kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat untuk berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya. Pada April 1992, Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1)(c) terbabit.

D dalam kes ini, ia berlaku ekoran tindakan kerajaan Kelantan dan diikuti kerajaan Sabah, ketika itu menggubal undang-undang antilompat bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti. Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu terbabit, namun perlu diketahui, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengubah keputusannya sendiri.

Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin bin Salleh itu serta mendapat satu bentuk perundangan yang baharu terhadap isu lompat parti dan pengosongan kerusi tanpa sebab yang munasabah ini dalam negara kita.

Banyak negara sudah memperkenalkan undang-undang ini kerana implikasinya yang besar kepada ketidakstabilan politik dan keamanan dalam sesebuah negara. Kebanyakan negara mensyaratkan bahawa mana-mana wakil rakyat terutamanya mereka yang ingin bertukar parti boleh berbuat demikian selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi.

Amalan ini sama sekali tidak menjadi halangan kepada hak memilih persatuan dan boleh dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan kelak dalam membuat interpretasi baharu yang sesuai dengan keadaan semasa dan perubahan pada masa kini dalam negara kita demi kestabilan politik jangka panjang.

Ini juga bagi mengelakkan negara kita menjadi kucar-kacir akibat isu lompat parti atau pengosongan kerusi tanpa sebab munasabah yang dilihat tidak berkesudahan ini.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)