Tangkapan pada pukul 7.35 pagi ke atas suspek dilakukan oleh pegawai Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) yang turut menemui 912 gram heroin di tempat duduk motosikal tersebut di samping 986 gram ganja dalam bakul motosikal.

Sebelum itu, kes hampir serupa dilaporkan melibatkan seorang pemuda Malaysia ditahan di pusat pemeriksaan sama kerana cuba menyeludup masuk 1.82 kilogram heroin ke negara itu, juga menggunakan motosikal.

Kedua-dua tangkapan dilakukan oleh pegawai ICA Singapura dalam tempoh selang seminggu selepas kedua-dua suspek melepasi pemeriksaan pasukan keselamatan Malaysia adalah amat mengejutkan!

Sebagai rakyat Malaysia, saya hairan bagaimana kawalan keselamatan Malaysia masih longgar dan mudah lolos sehingga penjenayah melakukan import eksport dadah ke negara jiran.

Adakah penjenayah lebih licik daripada pegawai penguat kuasa Malaysia? Saya amat berharap pihak berkuasa melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil perhatian serius perkara ini dengan melakukan siasatan secara segera terhadap pegawai penguat kuasa di kawasan sempadan agar tidak berlaku lagi kes-kes terpencil sebegini.

Jangan dibiarkan jika ada pegawai-pegawai yang cuai, sambil lewa, tidak bertanggungjawab dan pecah amanah sehingga memudahkan penjenayah merancang membawa bahan terlarang masuk atau keluar.

Untuk mengelakkan persepsi negatif dan tuduhan tidak berasas terhadap pegawai penguat kuasa Malaysia, KDN perlu melakukan pemantauan menyeluruh dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pegawai penguat kuasa dipatuhi secara holistik.

Tindakan tegas perlu diambil sekiranya terbukti ada pegawai penguat kuasa melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan bidang tugas yang telah diamanahkan.

Kita ingin menyampaikan mesej kepada negara luar bahawa Malaysia sebuah negara yang memerangi dadah secara menyeluruh dan perkara ini perlu diterjemahkan di peringkat akar umbi melibatkan semua pihak.

Selain itu, Malaysia perlu mengekalkan imej sebagai negara bebas rasuah dalam semua organisasi dari kepemimpinan negara, ahli politik memegang jawatan awam sehingga kepada penjawat awam dan juga orang ramai.

HAIRAN AJAIB