Bagi menjawab persoalan penulis, Perkeso tidak membiar atau mengabaikan mana-mana pencarum yang layak menerima faedah daripada Perkeso.

Dalam kes ini, waris kepada pencarum memang tidak pernah menuntut dan Perkeso tidak ada sebarang maklumat mengenainya sehingga waris tersebut datang untuk menyemak kelayakan arwah suaminya.

Balu kepada Allahyarham Ismail Mat Yasin iaitu Habesah Daud telah mengemukakan tuntutan Faedah Pencen Penakat di Pejabat Perkeso Kuala Terengganu pada 6 Januari 2019.

Perkeso telah membayar Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 pada 8 Januari 2019 iaitu dua hari selepas permohonan dikemukakan, sementara bayaran pencen terkumpul sebanyak RM140,245.11 dibayar dari tarikh yang dikebelakangkan iaitu mulai 11 November 2012. Waris arwah juga akan menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,876.88 sebulan.

Untuk makluman, majikan dipertanggungjawabkan untuk melaporkan kes-kes kemalangan yang berkaitan pekerjaan kepada Perkeso dan bagi kes-kes kemalangan yang tidak berkaitan pekerjaan pula, ia boleh dilaporkan oleh pekerja atau warisnya atau mana-mana pihak yang mengetahui insiden tersebut.

Perkeso tidak menuding jari kepada mana-mana pihak dalam kelewatan menguruskan kes Allahyarham Ismail Mat Yasin sebagaimana dakwaan penulis.

Isteri arwah tidak mengemukakan permohonan kepada Perkeso lebih awal kerana tidak mengetahui hak dan kelayakan suaminya yang meninggal dunia akibat kemalangan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Perkeso sememangnya melaksanakan aktiviti penerangan secara berterusan bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai berkenaan perlindungan Perkeso melalui pelbagai saluran dan kaedah.

Ini termasuk melalui ceramah, pameran bergerak, media cetak dan elektronik serta media sosial melibatkan pelbagai golongan sasar seperti majikan, pekerja, jabatan dan agen si kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Dengan cara ini, kumpulan-kumpulan sasar akan dapat menghebahkan perlindungan Perkeso secara meluas di samping dapat membawa mereka yang berhak ke pengetahuan Perkeso untuk dibantu.

Perkeso juga menubuhkan Skuad Perkeso Prihatin di semua pejabat Perkeso seluruh negara yang akan bertindak pantas mengambil langkah proaktif turun padang menemui pekerja terbencana dan warisnya bagi menguruskan tuntutan faedah tanpa menunggu waris datang ke pejabat.

Tindakan ini bagi memastikan para pencarum dan tanggungan atau waris mereka yang berhak mendapat faedah akan menerimanya dengan segera.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)