Melalui cadangan Akta Keharmonian berkenaan, pihak–pihak yang tidak bertanggungjawab tidak boleh melakukan sebarang perkara yang boleh mengganggu gugat kestabilan hubungan antara kaum yang wujud buat sekian lama.

Pada masa sama, cadangan Akta Keharmonian ini turut menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk bersuara dan memberi pendapat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Yang pasti, sejak akhir–akhir terdapat beberapa insiden yang berlaku dalam masyarakat kita yang sekiranya tidak dikawal atau dicegah dari peringkat awal boleh mencetuskan perbalahan dan salah faham teruk sehingga menjejaskan keharmonian antara pelbagai kaum sekali gus menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Cadangan untuk mewujudkan Akta Keharmonian ini juga boleh digunakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang sudah lama dikuatkuasakan iaitu semenjak zaman British lagi.

Selepas negara kita merdeka pada 1957 sehingga terbentuknya negara Malaysia pada 1963, Akta Hasutan 1948 (Akta 15) berkenaan masih lagi digunakan sehingga kini.

Akta yang berusia 70 tahun ini dirangka bagi menyelesaikan masalah–masalah berbangkit ketika zaman penjajahan British serta di peringkat awal penubuhan negara ini.

Hakikatnya, keadaan serta suasana masa kini telah banyak berubah lebih–lebih selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Keputusan pilihan raya umum itu jelas menunjukkan rakyat negara kita inginkan sebuah negara baharu yang ditadbir dengan lebih baik lagi serta memiliki satu bentuk peruntukan undang–undang yang lebih sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak orang ramai.

Percayalah, dengan adanya Akta Keharmonian ini, satu bentuk peruntukan undang–undang baharu bagi mencapai satu keseimbangan terbaik dapat direalisasikan terutama dalam usaha kita menjamin kebebasan bersuara dan memberi pendapat seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kewujudan ini juga sejajar dengan keperluan menjaga kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat di negara ini.

Tanpa adanya satu bentuk akta yang mempunyai keseimbangan yang ideal dan sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak masa kini, sudah tentu merencatkan hak individu untuk bersuara dan memberi pendapat. Paling dibimbangi boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

Bagi merealisasikan cadangan ini, pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan terbabit dengan lebih terperinci lagi.

Ahli jawatankuasa khas berkenaan mestilah terdiri daripada beberapa orang pakar perundangan khususnya berkaitan aspek hak asasi manusia dalam negara termasuk pihak dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pihak pengamal undang-undang, pihak badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu hak asasi manusia serta pihak dari Jabatan Peguam Negara.

Jawatankuasa khas ini bertanggungjawab untuk mencari satu keseimbangan terbaik melalui cadangan Akta Keharmonian ini bagi menjamin kebebasan setiap rakyat untuk bersuara dan memberi pendapat serta pada masa sama memastikan setiap pendapat dan suara yang diberikan tidak menjejaskan suasana kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW,
USIM