Penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah serampang dua mata bertujuan memberikan pendidikan terbaik lantas mengubah kehidupan serta masa depan anak Melayu.

Hasil kejayaan ini, dapatlah kita menghasilkan tenaga profesional dalam kalangan orang Melayu kini. Lantaran itu, sesiapapun dipertanggungjawabkan bagi menerajui Kementerian Pendidikan harus melihat dari perspektif yang berbeza.

Pendidikan tidak seharusnya dijadikan modal politik yang akan merugikan ramai pihak. Isu-isu yang bersifat fundamental seperti beban kerja guru harus ditangani dengan tuntas.

Penumpuan dan hala tuju yang jelas telah dirangka namun pelaksanaannya kadangkala menjadi persoalan. Semua pihak mengharapkan satu sistem pendidikan unggul tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Justeru, amatlah wajar sekiranya kemudahan, pembangunan kompetensi guru dan kemenjadian pelajar diberi keutamaan. Pastikan ianya selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang kadangkala semakin dilupakan.

Besar harapan ramai pihak terutama ibu bapa agar anak-anak mereka tidak lagi dijadikan bahan uji kaji setiap kali pelaksanaan dasar baharu yang kadangkala tersasar daripada matlamatnya.

Janganlah kita menjadi seperti pepatah yang mengatakan untung secupak rugi segantang yang akhirnya terpaksa ditanggung generasi pewaris kita kelak.

MOHD. FIRDAUS ABD MUNIR

Bentong, Pahang