Pelbagai emosi bermain ketika menonton filem ini. Semuanya ada suka, duka dan sedih, itulah kisahnya. Ceritanya mudah iaitu kisah bola sepak Malaysia yang diadun dan kemudian dijadikan cerita yang begitu menarik.

Agak menarik juga filem ini menggambarkan cara hidup antara pelbagai kaum di negara kita. Antaranya melalui penggunaan pelbagai bahasa seperti Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris yang selama ini mewarnai cara hidup kita. Konsep budaya dan jati diri turut diselitkan secara mudah dalam filem ini.

Berdasarkan pemerhatian saya, penonton-penonton filem ini terdiri dari pelbagai kaum dan menariknya ramai yang menonton bersama keluarga. Saya boleh katakan filem ini adalah filem untuk keluarga di semua peringkat umur. Filem Ola Bola adalah sebuah filem yang keseluruhannya mengandungi unsur tempatan dan sepatutnya ditonton.

Terbukti dengan menggunakan pendekatan berfikir di luar kotak hasilnya amat baik. Kepada pengusaha filem yang ghairah menghasilkan filem agak merapu, tinggalkanlah. Binalah satu wawasan yang memberi manfaat untuk dikenang oleh kita semua.

Sekalung tahniah kepada penerbit, pengarah, pelakon dan krew Ola Bola. Anda semua hebat. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan bola sepak di era tersebut. Pasukan sekarang ambillah pengalaman mereka ini untuk menempuh kejayaan. Kami mahu perubahan.

Ketika saya melawat ke Korea Selatan beberapa tahun lalu, sebut saja dari Malaysia, terus si pekedai ni (orang lama) menyebut nama empat atau lima nama pemain bola negara era 1980.

AHMAD BADARUDDIN 
ABDUL HAQ

Gombak, Selangor