Sambil membuat kecoh, mendakwa dirinya mengandung serta mengaku sebagai rakyat Malaysia, wanita tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan akhirnya ‘kantoi’ bila tidak boleh menyanyikan lagu Negaraku.

Kejadian serupa berlaku melibatkan seorang wanita Indonesia ketika serbuan Jabatan Imigresen di George Town, Pulau Pinang pada Julai lalu tetapi sekali lagi gagal disebabkan lagu Negaraku.

Namun, paling memalukan bila ada warga Malaysia sendiri gagal menyanyikan lagu Negaraku seperti kes tular di media sosial pada Mei tahun lalu melibatkan seorang wanita yang ditahan polis kerana disyaki warga China atau Vietnam.

Wanita itu yang didakwa sudah dua bulan hilang kad pengenalannya tiada inisiatif melapor dan membuat kad baharu malah jelas sekali tidak fasih bahasa kebangsaan sehinggakan tidak mampu menyanyikan lagu Negaraku.

Dengan harapan mendapat sokongan di media sosial, dia akhirnya memadam paparan memarahi anggota polis trafik tersebut selepas teruk ‘dibelasah’ rakyat Malaysia sejati.

Jika lagu Negaraku pun ‘tidak lulus’, sudah tentu Rukun Negara juga ‘ke laut’. Manusia seperti ini menjadi tempat pendatang haram ‘berlindung’ kerana mereka tahu pihak berkuasa terpaksa berhati-hati kerana dikhuatiri tersilap menahan warga tempatan.

Bagaimanapun, saya rasa sampai masanya pihak berkuasa perlu berani memeriksa dokumen pengenalan diri sesiapa sekalipun, di mana sahaja dan pada bila-bila masa tanpa rasa takut dimarahi sekiranya ada rakyat Malaysia yang ditahan kerana tidak membawa kad pengenalan.

Jika mereka yang salah kenapa pula pihak berkuasa perlu takut mengambil tindakan? Bukankah tidak membawa kad pengenalan atau sekurang-kurangnya surat mengesahkan kad pengenalan hilang satu kesalahan besar?

Disebabkan terlalu berlembut demi menjaga hati orang ramai, semakin ramai pendatang haram berani bergerak secara terbuka kerana melihat pihak berkuasa tidak memeriksa dokumen pengenalan diri secara rambang di tempat awam.

Lihat sahaja kelibat mereka di ibu kota setiap kali cuti umum atau kebanjiran mereka dalam pengangkutan awam. Walaupun ramai tiada dokumen sah, mereka tetap berani bergerak di tempat awam secara terbuka.

Malah begitu ramai rakyat Malaysia sendiri tidak membawa kad pengenalan, tidak melaporkan kehilangan mahupun tidak mengambil kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara.

Kini dengan menggunakan alasan ‘kad pengenalan’ hilang, ada warga Indonesia berani menyamar sebagai orang Melayu, warga China dan India menyamar sebagai warga tempatan malah untuk membezakan warga Bangladesh, Nepal, Vietnam, Thailand dan banyak lagi juga sukar tanpa memeriksa dokumen pengenalan diri mereka.

Satu-satunya cara untuk memastikan pendatang haram tidak bebas berlegar di depan mata pihak berkuasa adalah dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dokumen pengenalan diri terhadap sesiapa sahaja termasuk rakyat Malaysia sendiri.

Jangan terlalu bergantung kepada operasi serbuan sebaliknya wujudkan rasa takut untuk mereka berjalan, menaiki pengangkutan awam atau berada di mana-mana premis awam tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Cara ini juga dapat memastikan rakyat Malaysia menjaga dan sentiasa membawa kad pengenalan masing-masing setiap kali keluar dari rumah.

Jika ada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kad pengenalan di tempat awam, tahan sahaja sehingga dapat disahkan kerakyatan mereka. Sesiapa antara mereka gagal menyanyikan lagu Negaraku, letakkan sekali dengan tahanan warga asing.

Sekurang-kurangnya menjadi pengajaran supaya tidak mengambil mudah bahasa kebangsaan dan semangat patriotik kepada tanah tumpah darah sendiri.

Paling penting, orang awam tidak boleh terlalu dimanjakan dalam hal berkaitan perundangan khususnya dokumen pengenalan diri yang boleh membawa kepada ancaman keselamatan negara sekiranya jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

SARJAN PENCEN

Segambut, Kuala Lumpur