Menariknya, #DaulatHimpunan812 pada Sabtu lalu dihadiri hampir 1.5 juta rakyat Malaysia bukan 55,000 peserta seperti yang dilaporkan sesetengah media.

Walau bagaimanapun, perhimpunan Suhakam yang dijangka seramai tiga juta orang nampaknya hanyalah retorik semata-mata.

Pada saya, himpunan tersebut kelihatan hambar seolah-olah hanya sebuah program pertandingan khemah tercantik tanpa kelibat pengunjung. Jika kedua-dua perhimpunan itu dilaksanakan serentak, pastinya kita akan melihat perhimpunan #DaulatHimpunan812 jauh lebih berjaya daripada perhimpunan anjuran Suhakam yang jelas gagal dan hambar.

Susulan daripada kejayaan #DaulatHimpunan812 yang mendapat sokongan orang Melayu demi penyatuan ummah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan pusingan U dengan memberi alasan kerajaan menolak ratifikasi ICERD adalah untuk membantu orang Melayu dan bumiputera.

Walhal, sebelum ini dapat dilihat pendirian Dr. Mahathir seolah-olah menyebelahi Suhakam sehingga dijemput untuk merasmikan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa anjuran badan tersebut, namun beliau akhirnya ‘dinasihatkan’ agar tidak hadir ke program itu.

Pun begitu, tular sekeping gambar dikeluarkan oleh satu media rasmi menunjukkan Speaker Dewan Rakyat yang jelas berada di barisan paling hadapan dalam program itu.

Adakah tindak tanduk sesetengah pegawai tinggi kerajaan itu memberi isyarat kepada rakyat bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parlimen menyokong usaha meratifikasikan ICERD secara senyap-senyap tanpa pengetahuan rakyat?

Jadi bagaimana pula dengan kenyataan pusingan U yang dilakukan oleh Dr. Mahathir yang kononnya ingin membantu orang Melayu dan bumiputera?

Sepatutnya sebagai pemimpin yang mewakili sebuah parti pribumi, mereka perlu bersama-sama turun padang menyertai perhimpunan #DaulatHimpunan812.

Ini kerana perjuangan hak pribumi menjadi teras utama kepada perjuangan parti yang disokong mereka.

Adakah Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan pusingan U semata-mata kerana takut kehilangan sokongan orang Melayu? Atau hanya untuk menyelamatkan diri sahaja?

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor